Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bercadang menemui timbalan perdana menteri berhubung isu kenaikan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar bukan Bumiputera daripada 10 peratus kepada 45 peratus.
Presidennya Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata pertemuan itu diharapkan diadakan secepat mungkin dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga ketua penasihat GPMS.
Majlis Tertinggi GPMS dan semua pengerusi GPMS negeri sebulat suara membantah kenaikan itu, lapor Bernama .
"Saya mahu tekankan di sini bantahan itu bukanlah bersifat perkauman tetapi berdasarkan tuntutan kesamarataan," beliau dilaporkan berkata selepas mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi gabungan itu di pejabat GPMS hari ini.
Beliau berkata kesamarataan yang dimaksudkannya ialah peluang mendapatkan pendidikan bermutu dalam kalangan pelajar di luar bandar dan di bandar.
Reezal Merican berkata latar belakang seseorang pelajar perlu diambil kira dan tidak hanya berdasarkan merit keputusan peperiksaan pelajar.
"Kami mahukan sosioekonomi pelajar itu juga diambil kira kerana jurang antara bandar dan luar bandar tentunya berbeza," katanya.
Beliau berkata, kenaikan peratusan biasiswa kepada bukan bumiputera itu tidak mencerminkan komposisi kaum di negara ini iaitu 65 peratus bumiputera dan 35 peratus bukan bumiputera.
Sementara itu Pemuda DAP hari ini mengecam pendirian beberapa pertubuhan Melayu, termasuk GPMS.
Sambil menyifatkan penentangan terhadap langkah kerajaan itu "suara-suara retrogresif", setiausaha pergerakan itu Loke Siew Fook menggesa kerajaan agar bertegas dengan keputusannya itu.
"Pemuda DAP percaya biasiswa mestilah diberikan berasaskan dasar meritokrasi dan pelajar yang layak sama ada mereka bumiputera atau bukan bumiputera tidak boleh dinafikan hak mereka melanjutkan pelajaran," katanya dalam satu kenyataan.
"Sekali lagi kad perkauman dimainkan bagi melemahkan tujuan-tujuan meritokrasi dalam pendidikan Malaysia."
Minggu lalu menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa JPA akan menaikkan kuota pemberian biasiswa ke luar negara untuk pelajar bukan bumiputera daripada 10 kepada 45 peratus mulai tahun ini.
Selain GPMS, langkah ini ditentang oleh Pemuda Umno, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Manakala Pemuda MCA pula menyokong kuota JPA.
