Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menolak petisyen pilihanraya yang mencabar kemenangan naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di Rembau dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki mengumumkan keputusan tersebut pagi ini.

burmese umno demo 011007 khairy jamaluddin Petisyen tersebut difailkan oleh calon PKR Badrul Hisham Shaharin, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, pada 25 Mac lalu.

Dalam pilihanraya umum lalu, Khairy memperolehi 26,525 undi, menakala Badrul Hisham mendapat 20,779 undi. Khairy menang dengan majoriti 5,746 undi.

Peguam R Sheila yang mewakili Badrul, ketika dihubungi berkata, hakim menerima bantahan awal Khairy yang difailkan oleh peguam Datuk Shafee Abdullah.

Katanya, mereka kecewa dan menganggap keputusan tersebut sebagai "tidak adil".

Sheila berkata, satu daripada bantahan awal yang difailkan oleh Khairy ialah Badrul tidak menyebut secara khususnya kesalahan yang didakwa dilakukan mengikut 32B Akta Kesalahan Pilihanraya.

"Tentulah kami tidak menyebutnya secara khusus kerana Borang 14 yang sepatutnya mengandungi jumlah undi, tidak diberikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kepada kami," katanya.

Sheila berkata, tanpa Borang 14 itu, mereka tidak dapat menyatakan secara khususnya penyelewengan yang berlaku dalam petisyen yang difailkan kerana borang itu sahaja yang mengandungi jumlah undi yang dikemukakan pada 8 Mac.

"Sekurang-kurangnya, jika dibicarakan, mungkin kita boleh membuktikannya (dengan meminta SPR memberi kepada kami Borang 14)," katanya.

Borang 14 SPR hilang

Dalam petisyen yang difailkan pada 24 April lalu, Badrul mendakwa, keputusan pilihanraya itu patut dibatalkan kerana pegawai SPR yang menguruskan Parlimen Rembau, gagal menunjukkan 'Borang 14' selepas proses pengiraan pada hari pengundian.

SPR mesti menyediakan ‘Borang 14' di setiap pusat pengundian untuk menunjukkan jumlah penuh undi. Pegawai SPR juga diwajibkan menunjukkan borang tersebut kepada calon-calon yang bertanding.

protes klcc price hike 260108 badrul hisham Badrul, ketika ditanya mengenainya berkata, keputusan mahkamah itu sememangnya sudah dijangka.

Bekas guru itu mengulangi bahawa tujuan utama petisyen itu difail ialah untuk menarik perhatian rakyat kepada beberapa 'isu yang tidak selesai' dalam pilihanraya Parlimen Rembau.

Salah satu isu tersebut, kata Badrul, ialah mengenai skandal ECM-Libra yang menurutnya, gagal diperjelaskan oleh Khairy hingga ke hari ini.

Penggabungan ECM Libra-Avenue diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejurus selepas Khairy membeli sahamnya bernilai RM9.2 juta.

Berikutan itu, Abdullah didakwa mengamalkan kronisme kerana sebagai menteri kewangan, beliau juga bertanggungjawab terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Khairy adalah menantu Abdullah.

Ekoran itu, Khairy terpaksa menjual sahamnya dalam ECM Libra pada bulan Ogos 2006.

Khairy tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya kerana sedang berada di Bali, Indonesia.

ADS