Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Golongan berkemampuan bayar lebih
Diterbitkan:  Jun 4, 2008 12:49 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, golongan berkemampuan mungkin perlu membayar lebih dalam sistem subsidi yang distruktur semula untuk menangani kenaikan harga komoditi.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata keluhan hanya akan berlaku sekiranya golongan berpendapatan rendah perlu membayar lebih "RM200-RM300" untuk harga minyak tanpa diberi bantuan.

"Tetapi, kalau kerajaan dapat mempastikan golongan ini tidak perlu bayar lebih kerana harga minyak naik dan mencari satu kaedah terbaik untuk mereka, saya pasti tidak akan berlaku keluhan”," katanya dalam siaran langsung bersemuka dengan media malam tadi.

Tetamu medianya ialah Ketua Pengarang Bernama Yong Soo Heong dan blogger Ahiruddin Atan.

Menurut laporan Bernama, Nor Mohamed berkata penstrukturan semula subsidi juga penting bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan subsidi terutama bagi tujuan penyeludupan.

Beliau juga menjelaskan bahawa ada cadangan untuk menggunakan pendapatan Petronas sebagai subsidi.

“Kita ambil keuntungan Petronas, kita bagilah, apa susah, kita ada minyak. Tetapi itu bukan tindakan bertanggungjawab kerana Petronas bukan akan dapat

keuntungan selama-lamanya kerana pada tahun 2014, kita tidak akan menjadi negara pengeksport minyak lagi.

'Pegang amanah'

“Kerajaan berpendapat bahawa keuntungan Petronas digunakan untuk masa depan negara dan generasi akan datang,” katanya.

Nor Mohamed menegaskan bahawa kerajaan akan tetap menjalankan tanggungjawab dalam pemberian subsidi terutamanya bagi sektor pendidikan dan kesihatan.

“Kerajaan memegang satu amanah untuk menguruskan ekonomi dan orang selalu tanya amanah itu untuk siapa, amanah kepada rakyat 27 juta. Tetapi, itu jawapan yang salah. Kita pegang amanah bukan sahaja untuk penduduk pada masa ini tetapi juga untuk generasi akan datang,” katanya.

“Tujuan subsidi adalah untuk pastikan peruntukan tersebut dapat diberi kepada rakyat yang lebih memerlukan. Mereka yang perlu diberi bantuan akan terus diberi bantuan,” katanya lagi.

Katanya, kerajaan akan memberi penjelasan menyeluruh kepada rakyat tentang konsep subsidi tersebut menerusi media massa.

Kerajaan memberikan subsidi minyak sebanyak RM28 billion pada tahun ini berbanding RM8 bilion pada tahun 2007.

ADS