Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peniaga di Pasar Minggu, Kampung baru yang diarah berpindah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan untuk membuat tiga tuntutan sebelum perobohan gerai mereka bulan ini, kata Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM).

Dalam mesyuarat kelmarin, kata timbalan yang dipertuanya Mohamad Nadzri Abdul Hamid, persatuan bersetuju menuntut DBKL memberi:

bullet button penempatan perniagaan sementara kepada peniaga-peniaga di Lot 25 di tempat baru sebelum mereka berpindah,

bullet button jaminan kepada mereka agar diberikan keutamaan berniaga semula di situ setelah projek pembangunan DBKL selesai.

bullet button pampasan yang munasabah serta membiayai kos perkhidmatan guaman.

Dalam mesyuarat itu juga, PPKPM memutuskan untuk melantik firma guaman Kamalam & Co bagi membantu aspek perundangan persatuan tersebut.

"Pihak persatuan lantik firma guaman itu dan sedang meneliti dokumen-dokumen yang ada," kata Mohamad Nadzri.

Persatuan berharap dengan mendapatkan nasihat guaman, DBKL akan memberikan respon positif kepada mereka, katanya.

Pada 20 Mei lalu, DBKL mengeluarkan notis kepada peniaga di Lot 25, termasuk kawasan Pasar Minggu, supaya mengosongkan premis mereka dalam tempoh sebulan.

Lot 25 Kampung Baru adalah kawasan perniagaan yang terawal Melayu yang pernah dibangunkan semula dan dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1967.

Selain pasar minggu, lot itu meliputi kawasan-kawasan gerai Mara, pusat kebudayaan PKNS dan deretan gerai makanan di Jalan Raja Muda Musa.

Menurut Mohamad Nadzri, satu majlis penerangan akan dibuat kepada semua peniaga Lot 25 pada 9 malam ini di pusat kebudayaan tersebut berhubung langkah-langkah yang bakal diambil oleh persatuan berhubung notis DBKL itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas langkah-langkah tersebut.

ADS