Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak, Datuk Ian HC Chin mengejutkan kalangan pengamal perundangan apabila beliau mendedahkan dua insiden mengenai campurtangan pihak eksekutif, lebih 10 tahun yang lalu.

Pendedahan tersebut dibuat di permulaan perbicaraan petisyen pilihanraya semalam, yang didengarnya.

Beliau membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin - dua personaliti penting dalam kes skandal Datuk VK Lingam, yang telah menggemparkan bidang kehakiman negara.

Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga, ketika dihubungi, menyifatkan pendedahan hakim tersebut sebagai sesuatu yang mengejut.

Katanya, mereka bercakap mengenai bentuk-bentuk campurtangan eksekutif dalam bidang kehakiman yang telah melemahkan institusi tersebut.

Sehubungan itu, katanya, para hakim mesti menyatakan dan jika perlu, mendedahkan sebarang bentuk campurtangan seumpama itu.

Akhbar Borneo Post melaporkan dakwaan Chin bahawa Dr Mahathir telah mengugutkan untuk memecat para hakim jika mereka membuat penghakiman yang tidak menyebelahi pentadbirannya.

ian chin ian hn chin judge Chin mendengar petisyen pilihanraya yang difailkan oleh calon DAP, Wong Hua She, yang memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu sebagai batal dan tidak sah.

Calon Barisan Nasional (BN), Ding Kuong Hing menang kerusi tersebut dengan majoriti tipis 51 undi.

Ambiga menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan pihak-pihak berkuasa yang lain supaya menjalankan siasatan yang terperinci berhubung dakwaan campurtangan pihak eksekutif itu

Katanya, terdapat khabar angin mengenai campurtangan seumpama itu, tetapi berkata ini adalah kali pertama seorang hakim yang masih berkhidmat mendedahkannya.

"Kita mahu menggalakkan semua hakim - yang masih berkhidmat dan yang sudah bersara - memberi maklumat mengenai sebarang bentuk campurtangan seumpama itu supaya tindakan lanjut dapat diambil," katanya.

Chin mendedahkan apa yang telah berlaku kepadanya selepas membuat dua penghakiman pada tahun 1997.

Salah satu penghakiman tersebut dibuat pada 5 Februari 1997 di mana beliau tidak mengikut peraturan dalam memberi ganjaran bagi kes fitnah, yang diputuskan dalam kes fitnah antara Tan Sri Vincent Tan lwn MGG Pillai.

Tan, seorang jutawan, dianugerahkan gantirugi RM10 juta selepas menyaman Pillai kerana menulis empat artikel yang mengandung dakwaan rasuah dan urusniaga haram terhadap Tan, yang disiarkan oleh majalah Malaysian Industri pada tahun 1933 dan 1994.

Penghakiman kedua ialah mengenai satu petisyen pilihanraya di mana pada 13 Februari 1997, Chin telah menolak petisyen bagi kawasan Mong Dagang di mana tuduhan rasuah telah dibuktikan.

Donald Lawan yang mengemukakan petisyen tersebut, memohon supaya keputusan bagi kerusi Mong Dang diisytiharkan tidak sah dan batal kerana berlaku rasuah.

Menurut Chin, Persidangan Hakim-hakim yang diadakan pada 24 April - dua bulan selepas penghakiman-penghakiman tersebut dibuat - perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir dijadual mengadakan dialog dengan para hakim.

Beliau berkata, dalam dialog tersebut, Dr mahathir telah mengugut akan melucutkan jawatan hakim-hakim, dengan merujuk kepada tribunal yang pernah ditubuhkan, dan mengatakan walaupun ia sukar ditubuhkan, tetapi masih boleh dilakukan.

[Selanjutnya lihat teks penuh Chin di mahkamah] .

ADS