Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selangor tidak akan mengiktiraf ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Selangor yang dilantik oleh kerajaan persekutuan, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

first 100 days khalid ibrahim interview 160608 05 "Memang tidak boleh diiktiraf sebab yang melantik (ahli JKKK) adalah kerajaan negeri. Jadi kalau kerajaan pusat melantik, dia (kerajaan pusat) kena juga meminta persetujuan kerajaan negeri. Bukan boleh dia (pusat) lantik orang itu dan kata ini ketua kampung yang disetujui oleh negeri. Tidak boleh.

"(Kalau berlaku) kita tidak panggil dia ketua kampung lagi. Kalau kerajaan pusat ambil (lantik) seorang ketualah, dia tidak boleh dipanggil ketua kampung.

"Saya tak tahu apa nama yang dia... ketua bayaran pusat boleh jadi," kata Khalid, dengan nada menyindir sambil disambut ketawa kecil daripada pemberita di kediaman rasminya Sabtu lepas.

Dalam wawancara bersama beberapa media berbahasa Melayu bersempena sambutan ‘100 hari kerajaan baru Selangor’, Khalid berkata Selangor akan mengumumkan kumpulan baru jentera pentadbiran daerah melibatkan ketua-ketua kampung dan JKKK berikutan wujud sebahagian daripada kumpulan ini yang "berkiblatkan" kerajaan persekutuan.

"Ada sesetengah ketua kampung, mereka mahu berkiblatkan kerajaan Persekutuan. Jadi, oleh sebab itu, saya pun minta pegawai daerah dan juga ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk berbincang bagaimana kita (dapat) mencari kumpulan-kumpulan dalam kampung tersebut untuk membuat satu jawatankuasa kampung yang baru," katanya.

Beliau menambah, penyusunan semula yang akan diumumkan bulan depan akan turut melibatkan struktur pentadbiran di perkampungan Cina yang mengalami kekosongan sekarang ini.

"Jadi, pada bulan Julai kita (akan) buat pengisytiharan kumpulan baru, bukan saja ketua kampung daripada kampung-kampung biasa tetapi juga perkampungan Cina sebab ramai wakil-wakil MCA yang duduk dalam JKKK kampung-kampung Cina awal-awal lagi telah berhenti," katanya.

first 100 days khalid ibrahim interview 160608 01 Ditanya sama ada penyusunan itu akibat kontrak JKKK telah tamat ataupun mereka dipecat, Khalid berkata terdapat sesetengah ahli JKKK yang tidak memberikan kerjasama dengan kerajaan negeri, antaranya tidak hadir ketika dipanggil bermesyuarat dengan beliau.

"Kontrak ada setengahnya belum tamat. Cuma kita nak menyusun semula sebab kita dapati ada sesetengah ketua-ketua kampung tidak hendak hadir mesyuarat dengan menteri besar. Menteri besar panggil ketua-ketua kampung, suruh datang mendengar penerangan menteri besar, dia kata dia tak boleh sebab dia ahli Umno.

"Dan dia juga mendapat bayaran daripada kerajaan pusat. Jadi dia tak tahu mana muka hendak ditunjukkan. Kita pun tak tahu nak buat macam mana. Jadi dialah buat keputusan sendiri sama ada hendak bekerjasama dengan kerajaan negeri atau kerajaan pusat.

Beliau bagaimanapun belum tahu peratusan JKKK sedia ada yang akan dikekalkan.

"Saya tak tahu lagi. Kita ada temuduga. Maknanya pegawai daerah panggil (ahli JKKK) dengan secara tertib sungguh. Panggil, tanya apakah keinginan beliau. Bagaimana cara beliau. Ada setengah tu berterus-terang, saya sanggup bekerja untuk masyarakat tidak kira siapa (kerajaan negeri).

"Ada setengah itu berterus-terang juga. Dia kata, 'saya ada kontrak'. Saya juga ketua bahagian Umno, jadi susahlah saya. Kalau saya tolong orang (parti) lain, tidak dapat ketua bahagian (Umno), saya tak dapat kontrak dan saya tak dapat apa-apa'. Jadi, macam mana nak buat. Barangkali dia cakap, nasib saya memang macam ni. Nasiblah," kata Khalid.

ADS