Denison: Kadar kemiskinan M'sia 30%

Kadar kemiskinan di Malaysia sebenarnya lebih 30 peratus dan bukannya 5.7 peratus seperti yang diumumkan oleh kerajaan, kata bekas presiden Yayasan Strategik Sosial, Dr Denison Jayasooria.

Beliau yang juga pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berkata, kaedah yang digunakan sekarang untuk mengira Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara adalah tidak tepat.

denison jayasooriaKatanya, kaedah kerajaan mengira PGK sekarang hanya melibatkan keperluan asas seperti yang dilakukan oleh negara-negara miskin, tanpa mengambil kira taraf hidup isi rumah.

Dr Denison berkata, kalau semua itu diambil kira, maka kadar kemiskinan rakyat negara ini lebih 30 peratus berikutan keadaan semasa dan kenaikan kos sara hidup.

"Pada pandangan saya, kini terdapat lebih 30 peratus mereka yang miskin di negara ini, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi semasa, dan bukannya hanya 5.7 peratus (seperti yang diumumkan kerajaan)," katanya.

Beliau berkata, cara pengiraan untuk mengukur garis kemiskinan yang digunakan sekarang hanya mengambil kira keperluan asas sahaja dan ia tidak menggambarkan keadaan sebenar.

"Seharusnya, ia perlu mengikut kaedah ukuran PGK seperti yang diamalkan di negara-negara maju, seperti Sweden dan Singapura," katanya, sambil menambah, kaedah yang digunakan di Malaysia sekarang tidak lagi bersesuaian dengan kedudukan negara ini yang semakin membangun.

Kiraan tidak tepat

Dr Denison menambah, cara pengiraan yang diamalkan oleh negara-negara maju adalah purata pendapatan isi rumah dibahagi dua, bagi menentukan garis kemiskinan.

Misalnya, kini purata pendapatan bulanan isi rumah rakyat Malaysia ialah sebanyak RM3,686.

Menurut Dr Denison, ini bermakna garis kemiskinan ialah separuh daripadanya, iaitu RM1,843.

Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan 2005, garis kemiskinan untuk seluruh negara adalah RM691 bagi pendapatan bulanan, manakala bagi Semenanjung pula jumlahnya RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765).

Pengiraan ini bagi keluarga seramai lima anggota.

Dr Denison mahu kaedah pengiraan garis kemiskinan itu mengambil kira kualiti hidup rakyat kerana kaedah yang digunakan sekarang tidak menggambarkan taraf hidup isi rumah.

"Konsep pengiraan garis kemiskinan perlulah mengambil kira kualiti hidup sesebuah keluarga dengan melihat sama ada mereka mempunyai peti sejuk, televisyen, komputer dan sebagainya.

"Bukan semata-mata melihat kepada keperluan asas sahaja," katanya.

Sementara itu, ahli parlimen Sungai Siput, Dr Jayakumar juga bersetuju supaya kaedah pengiraan garis kemiskinan, bukan lagi hanya berpandukan keperluan asas semata-mata.

"Keadaan ini tidak realistik apabila garis kemiskinan hanyalah berjumlah RM691 untuk keluarga yang mempunyai lima anggota.

"Ini kerana jika kita lihat kos hidup di bandar-bandar kini tinggi, maka kadar ini tidaklah bersesuaian," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, kaedah pengiraan yang digunakan tidak mencerminkan keadaan sebenar berikutan bantuan yang disediakan kerajaan tidak dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukan bantuan kerana kadar kemiskinan yang rendah.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.