Parti Progresif Sabah (SAPP) akan mengadakan sidang akhbar pada jam 2 petang ini di ibupejabatnya di Kota Kinabalu, dijangka untuk membuat satu pengumuman penting.
Walaupun khabar angin tersebar luas bahawa parti itu mungkin bertindak keluar dari Barisan Nasional (BN), tetapi sumber-sumber yang rapat dengan parti itu berkata, ia mungkin tidak berlaku hari ini.
"Hari ini hanyalah langkah pertama. Mungkin tidak ada yang akan melompat parti," kata satu sumber.
Difahamkan, di sidang akhbar hari ini, parti itu mungkin mengulangi desakannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meningkatkan lagi tumpuan terhadap Sabah, terutama dalam menangani masalah pendatang haram serta pembasmian kemiskinan.
"Parti itu mungkin menyatakan ia sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah," kata sumber itu.
Anwar perlu 30 MP
Malaysiakini difahamkan semalam bahawa SAPP memanggil sidang akhbar hari ini untuk membuat pengumuman penting yang akan "membawa perubahan drastik dalam senario politik Malaysia".
Sejak beberapa minggu ke belakangan ini, SAPP telah dispekulasi akan meninggalkan BN untuk menyertai Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
SAPP diketuai oleh bekas ketua menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee, yang terkenal dengan kelantangannya, yang baru-baru telah mempersoalkan dasar-dasar Abdullah terhadap Sabah dan ketidakmampuan kerajaan pusat untuk menangani masalah pendatang haram di negeri itu.
Parti itu mempunyai dua orang ahli Parlimen dan empat ahli dewan undangan negeri.,
Menurut pemerhati politik, walaupun SAPP mungkin melompat parti itu, tapi jumlah ahli Parlimennya tidak cukup untuk menggoyang kedudukan BN.
Anwar memerlukan 30 ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan BN pimpinan Abdullah.
Bagaimanapun, sumber-sumber di Sabah mendakwa, parti-parti komponen BN yang lain dijangka menurut jejak SAPP jika parti itu keluar BN.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites