Selangor tetap berusaha ke arah mengadakan pilihanraya majlis tempatan dan akan membentuk sebuah jawatankuasa bagi mengkaji undang-undang yang berkaitan dengannya,
Setakat ini, prosesnya masih dalam peringkat awal, kata menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang akhbar mengenai perlantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
"Pandangan kita (masih) pada peringkat awal. Selepas enam bulan, kita akan duduk melihat kemungkinan sama ada boleh atau tidak (mengadakan pilihanraya tempatan).
"Sehingga itu, kita bekerja ke arah itu. Modus operandinya akan ditentukan kemudian," katanya.
Parti-parti yang bergabung dalam Pakatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini menuntut kerajaan mengadakan semula pilihanraya tempatan setelah dimansuhkan 40 tahun lalu.
Pada penghujung Mac lalu, 33 NGO yang diketuai Pengarah Eksekutif Suaram Yap Swee Seng menuntut kerajaan Pakatan Rakyat supaya memberikan keutamaan kea rah mengadakan pilihanraya tempatan sebelum tahun 2010.
Pilihanraya itu dihentikan pada 1969 apabila berlaku rusuhan kaum.
Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, exco kerajaan tempatan Ronnie Liu berkata kerajaan negeri akan memperkenalkan sistem zon dalam pentadbiran majlis tempatan.
Sistem zon
Sistem ini, menurut beliau, dipercayai berkesan bagi memastikan kelancaran pentadbiran dan mendorong ahli majlis menjadi lebih rajin.
"Ahli majlis yang baru akan berbeza dengan yang lama. Mereka akan menjadi lebih rajin. Jika tidak rajin, rakyat akan tahu sebab mereka mengikuti sistem zon. Setiap ahli majlis akan diberikan zon untuk ditadbir. Jadi apabila mereka tidak berkhidmat, orang ramai akan tahu.
"Mereka akan menjadi ketua untuk satu zon. Ada jawatankuasa sendiri untuk untuk menyelesaikan masalah setempat. Jika masalah gagal diselesaikan pada peringkat itu, barulah dibawa kepada majlis (tempatan).
"Semua zon yang berbeza ini akan diberikan pejabat dan kerani. Jadi mereka (ahli majlis) boleh mewujudkan sekretariat mereka. Sistem ini bukan baru, tetapi kami percaya boleh berkesan," kata Ronnie.
Katanya, untuk memastikan kelancaran pentadbiran PBT, beliau berkata, kerajaan negeri akan menghantar ahli majlis yang akan baru dilantik menjalani kursus antara dua hingga tiga hari untuk memantapkan diri sebagai penjawat di majlis tempatan.
"Semua ahli majlis akan dihantar ke Morib menjalani latihan sebelum memulakan tugas. Mereka akan dibahagikan kepada jawatankuasa berbeza sebelum dihantar ke Morib.
"Kita mempunyai pusat latihan di Morib untuk ahli majlis dan semua pegawai-pegawai kerajaan," katanya kepada pemberita selepas sidang media itu," tambahnya.
