Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini 6.25pm PAS Perlis menunggu arahan barisan kepemimpinan pusat sama ada menyertai pilihanraya kecil Sanglang atau memulaukannya setelah Mahkamah Tinggi Kangar mengarahkan kerusi itu dikosongkan kelmarin.

"Bergantung kepada arahan PAS pusat, kalau (pusat) kata boikot, (kita) boikot.

"Apa pun tunggu arahan PAS pusat," kata ahli jawatankuasa PAS negeri Zulmi Sabri ketika dihubungi Malaysiakini .

Dalam pilihanraya umum 8 Mac, calon BN Abdullah Hassan menang dengan majoriti 149 undi, menewaskan Hashim yang menyandang kerusi tersebut selama dua penggal sejak 1999.

Zulmi, seorang peguam yang terlibat dalam pasukan pempetisyen kes itu Hashim Jasin, bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Peguam itu berkata, calon PAS yang juga pesuruhjaya PAS negeri akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan agar tiada pilihanraya kecil diadakan di kerusi Dewan Undangan Negeri itu.

Tambahnya, pihak PAS mahu Hashim diisytihar sebagai pemenang menurut kuasa-kuasa sedia ada.

"Mahkamah perlu membetulkan ketidakadilan yang sedia ada iaitu di bawah Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

"Sebab itu kita nak cuba dapatkan penjelasan Mahkamah Persekutuan. Takut perkara yang sama berlaku (dalam petisyen-pestisyen lain).

"(Dan) supaya tidak diadakan pilihanraya kecil semula," kata Zulmi.

Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 iaitu aturan 92 kaedah 4 menyebut "bagi menghapuskan keraguan maka dengan ini diisytiharkan bahawa tiada apa-apa jua dalam kaedah-kaedah ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menjejaskan kuasa sedia ada mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mencegah ketakadilan atau mencegah penyalahgunaan proses mahkamah."

Rabu lalu, hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani menolak permohonan calon PAS itu yang mahu beliau diisytiharkan pemenang kerusi DUN tersebut kerana kesalahan penjumlahan undi di Borang 14.

Dalam penghakimannya, Zainal Adzam berkata, mahkamah tiada hak untuk mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi DUN itu kerana Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 - yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk berbuat demikian - sudah dimansuhkan pada 2003.

Mahkamah bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihanraya kecil perlu diadakan serta bila ia akan diadakan.

Timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dilaporkan berkata suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat untuk tujuan itu sebaik sahaja menerima penghakiman bertulis kes itu.

Menurut kelaziman, hakim perlu menyerahkan keputusan rasmi kepada SPR dalam masa 14 hari selepas keputusan dibuat.

Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 45 undi, mengalahkan Datuk Mastika Junaidah Husin, menjadikannya kerusi tunggal yang dikuasai pembangkang berbanding tiga pada 1999.

ADS