Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 9:15pm Empat didakwa didera oleh polis Kajang baru-baru ini, termasuk dipaksa mengadakan seks oral, disembur racun pembunuh nyamuk di bahagian muka dan menjilat kasut anggota polis.

"Semasa proses siasatan, selepas menerima reman pertama, anak guam saya telah dipukul dan dua daripada suspek dipaksa melakukan seks oral," kata peguam mereka, Kartigesan Shamugam.

Mereka berdua, termasuk seorang suspek bawah umur, dipaksa melakukan seks oral antara satu lain di depan sekumpulan anggota polis, seorang berpangkat sarjan.

Lima orang, termasuk keempat-empatnya, ditahan mulai 29 Mei lalu dan direman selama lapan hari di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang.

Mereka seterusnya disambung tempoh reman di Cheras, Dang Wangi dan Brickfields masing-masing selama lima, satu dan tiga hari.

"Lima ditangkap. Seorang telah dibebaskan (selepas itu) dan dia tidak mahu membuat sebarang laporan polis kerana tidak disentuh (didera)," kata peguam itu dalam sidang medianya dengan pesuruhjaya Datuk Siva Subramaniam di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Keempat-empat suspek membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, tambah peguam itu.

suhakam police abuse pc 200608 s karthigesan Tarikh tepat penderaan tidak dinyatakan, kata peguam itu lagi (foto) , namun mereka dipercayai didera dalam tempoh reman tersebut – lima hari bagi kali pertama dan kemudian ditambah tiga hari.

Kejadian penderaan pertama – melibatkan seks oral – diadukan kepada majistret Kajang sewaktu mereka dibawa untuk lanjutan tempoh reman.

"Selepas mereka mengadu kepada majistret, tempoh reman disambung lagi tiga hari. Selepas itu mereka dipukul lagi. Mereka ditanya (oleh polis), kenapa mengadu kepada majistret?

"Menurut anak guam saya, (akibatnya) mereka dipaksa menjilat kasut polis serta racun pembunuh nyamuk disembur ke muka mereka," katanya.

Bapa tahanan juvana itu membuat aduan kejadian luar biasa ini di balai polis Salak Selatan Baru pada 9 Jun.

Dua hari kemudian, beliau membawa kes tersebut kepada pengetahuan Suhakam.

Kelima-lima suspek ditangkap bagi siasatan kesalahan rompakan berkumpulan bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan.

Ketika di IPD Cheras, kata Kartigesan, mereka tidak membuat laporan kerana takut dibawa kembali ke IPD Kajang dan dipukul sekali lagi.

Menurutnya, sekarang ini tiga daripada suspek termasuk remaja itu telah dibebaskan, manakala dua lagi dipercayai masih berada di penjara Sungai Buloh kerana gagal membayar ikat jamin.

suhakam police abuse pc 200608 karthigesan siva subranamiam Subramaniam (foto, kanan) mengesahkan Suhakam menerima aduan rasmi daripada bapa suspek dan pihaknya telah mengirim surat memohon penjelasan daripada ketua polis daerah Kajang pada Jumaat minggu lepas.

"Suhakam memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya selepas memperoleh maklumat terperinci dan kami percaya bahawa perkara ini dalam siasatan aktif pihak polis," katanya.

Beliau menambah, kejadian itu telah dirujuk kepada ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman.

"Kita juga telah merujuk kes ini kepada pihak atasan (polis) dan kami telah menghantar satu salinan (aduan) kepada Bukit Aman bagi perhatian ketua polis negara," katanya.

Mengulas dakwaan bahawa suruhanjaya itu kurang berkesan berikutan penyelewengan polis terus berlaku selepas aduan kepadanya, Subramaniam berkata:

"Sebenarnya mungkin masyarakat anggap (kerja) Suhakam hanya tulis surat, (anggapan) itu tidak benar.

"Kita kena cari fakta dulu kerana ada aduan yang dibuat. Bagi Suhakam, pendekatan (kita) banyak cara. Kita juga terus membawa isu ini untuk perbincangan dengan pihak atasan."

Tambahnya, ketua polis negara menugaskan dua orang pegawai menyiasat sebarang kes yang tidak diambil tindakan oleh polis.

"Kita juga mesti memberi peluang kepada polis menjawab tuduhan itu, kita kena ikut prinsip yang sama. Tetapi kita memandang serius dan akan bertindak secara agresif terhadap isu hak asasi manusia dan kita telah aturkan cara kita akan bertindak.

"Kita tidak akan lepaskan isu-isu seperti ini," katanya.

ADS