Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Blogger.com gantung blog Dr Mahathir
Diterbitkan:  Jun 22, 2008 11:58 PM
Dikemaskini: Jun 23, 2008 6:25 AM

Blog rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad digantung oleh penyedia khidmat memblog Blogger.com sejak tiga hari lalu sehingga mantan perdana menteri gagal mengemaskinikannya.

Blog Chedet.com - 'che det' adalah nama gelaran dan nama pena Dr Mahathir - digantung dengan alasan ia dianggap sebagai "dicurigai blog spam".

Blog itu gagal dikemaskini sejak 19 Jun yang memuatkan artikel terakhirnya 'RapidKL: Answers to questions and SAPP'.

Komentar pengunjung di akhir artikel tersebut gagal diluluskan oleh Blogger.com.

Dalam notis kepada pengunjung yang dimuatkan di Chedet.com jam 11:09 malam ini, walaupun sudah beberapa kali usaha menghubungi Blogger.com dibuat, penyedia khidmat tersebut masih lagi "mengunci" Chedet.com .

Penyedia khidmat itu akan mengunci sesebuah blog yang dibantah oleh pengunjungnya sehingga "bahan-bahan yang dipertikaikan" itu dibuang atau setelah disiasat sendiri olehnya tidak seperti bantahan.

mahathir blog website che det dot com note to visitor 230608 Blogger.com menyediakan khidmat tersebut di butang sebelah penjuru kiri atas, atau dikenali "butang bendera", bagi bahan-bahan yang dianggap "berpotensi dipertikaikan" kerana dianggap "melanggar undang-undang atau ofensif" kepada pembaca lain.

Blog "spam" dianggap kegiatan yang tidak mengikut undang-undang.

Tidak jelas kenapa blog tersebut mengalami masalah ini, tetapi artikelnya berhubung isu perkauman dipercayai mendorong pengunjung menekan butang bendera itu berulang kali - sehingga dianggap Blogger.com sebagai blog yang "tidak disenaraikan" dalam perkhidmatannya dan oleh itu tidak dibenarkan dikemaskini.

Menurut Chedet.com lagi, blog popular itu akan dipindahkan kepada penyedia khidmat blog yang lain, antaranya yang sedang diusahakan MoveableType.com.

Tinjauan Malaysiakini selepas tengah malam ini menunjukkan usaha memindahkan blog itu masih belum berhasil sepenuhnya dan pengunjung mengalami kesulitan untuk memuatturun artikel Dr Mahathir.

Dalam artikel terakhir yang dimuatkan selepas percubaan memindahkan blog tersebut, Dr Mahathir mengulas usul undi tidak percaya kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka akan dikemukakan di Dewan Rakyat esok.

"Usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Parti Maju Sabah (SAPP) tidak akan menumbangkan kerajaan Datuk Abdullah kalaupun barisan pembangkang memberikan sokongan di belakang SAPP," katanya dalam 'The chorus line' yang dimuatkan jam 11:15 malam ini.

chedet mahathir blog 020508 Malah, tambahnya, pemimpin dan ahli Umno yang berjumlah kira-kira 3.5 juta orang juga tidak akan berjaya menjatuhkan Abdullah yang dikelilingi oleh anggota kabinet dan ketua-ketua bahagian Umno dan sentiasa melaung-laungkan puji-pujian kepadanya.

"Kejayaan mereka (ahli Umno) sangat bergantung kepada penyokong yang tidak menjadi ahli. Datuk Seri Abdullah tidak boleh memberi rasuah atau mengugut mereka (bukan ahli). Mereka tidak boleh dipanggil untuk diarah menyokong calon-calon BN atau dirinya sendiri," kata Dr Mahathir lagi.

Tambahnya, walaupun anggota-anggota Majlis Tertinggi Umno dan ketua-ketua bahagian menunjukkan sokongan kepada Abdullah, ahli-ahli parti yang lain makin meluat terhadapnya.

"Mereka akan bertekad untuk tidak lagi memangkah Umno atau BN," katanya.

Dalam keadaan tanpa pilihan, hujahnya lagi, mereka ini akan meninggalkan parti-parti itu dalam pilihanraya umum akan datang seperti ditunjukkan dalam pilihanraya 8 Mac lalu.

"Umno akan kalah dan kalah seteruk-teruknya," kata bekas presiden Umno.

"Datuk Seri Abdullah boleh menyalahkan pengundi mensabotaj tetapi kerana Umno dan BN enggan mempedulikan rasa meluat pengundi pada (pilihanraya) 2008, satu-satunya pilihan yang mereka (pengundi) ada untuk membuang Datuk Seri Abdullah hanyalah melalui cara memusnahkan (sokongan) Umno dan BN."

ADS