Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Titiwangsa mempertikaikan draf Pelan Induk Pembangunan Kuala Lumpur 2020, antaranya isu pembangunan Kampung Baru yang kelihatan sudah dirancang dengan muktamad.

Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali berkata, pelan yang dirangka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai draf awal telah menamakan syarikat-syarikat yang dilantik untuk melaksanakan beberapa projek di kawasan itu.

"Dalam kes Kampung Baru, sudah ada syarikat-syarikat yang dilantik untuk melaksanakan projek.

"Draf pelan ini sepatutunya berperanan sebagai pelan awal dan itulah tujuan awalnya," tambah wakil rakyat PAS itu.

Merujuk jilid empat yang menyentuh pembangunan di kampung itu, beliau berkata terdapat beberapa isu perundangan yang boleh menyebabkan pelan tersebut dibatalkan atau dipinda.

Beliau bersetuju dengan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, yang menyifatkan draf pelan melanggar "begitu banyak" peraturan.

Menulis di blognya kelmarin, wakil rakyat PKR itu berkata draf pelan itu bertentangan antaranya dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa, Dasar Pembangunan Negara dan Pelan Struktur Kuala Lumpur.

Dr Lo' Lo' menjelaskan, beliau akan menjalankan kempen menerangkan isu draf Pelan Induk Pembangunan KL 2020 kepada orang ramai bermula Ahad ini di Keramat.

Sementara taklimat dan dialog untuk mendapat maklum balas di Kampung Baru dan Taman Maluri pada 12 Julai.

Tambahnya, beliau akan membawa beberapa orang pakar dalam sesi pertemuan tersebut.

"Pendekatan yang diambil ini supaya masyarakat akan dapat memahami pelan ini dengan mendalam tanpa sebarang perkataan teknikal," katanya.

Ahli parlimen Batu, yang juga ketua penerangan PKR, Tian Chua berkata semua wakil rakyat parti itu akan membuat bantahan sebelum tarikh tutup 31 Ogos depan.

Tian menambah, masalah draf pelan ini sebahagiannya kerana dirancang tanpa merujuk kepada orang ramai, persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Wakil rakyat Kepong, Dr Tan Seng Giaw berkata, draf pelan induk ini dikaji semula oleh DBKL demi kepentingan masyarakat.

ADS