Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 2:03pm Kepala surat pejabat menteri besar Selangor digunakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat itu untuk mengutip sumbangan syarikat swasta sempena sambutan 100 hari pentadbirannya, kata Mohamad Ezam Mohd Nor.

Dalam aduannya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pagi ini, bekas pemimpin kanan PKR itu mendakwa nombor faksimili yang tertera di surat itu juga menunjukkan ia dihantar dari pejabat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

ezam to shah alam aca 010708 02 "Saya tidak boleh tunjukkan isi sebab saya sudah serahkan pada BPR. Yang saya nak tunjukkan, kepala surat pejabat menteri besar Selangor dan juga ada nombor faks (dihantar) kepada pihak (syarikat) yang diminta sumbangannya.

"Nombor faks tersebut adalah nombor faks pejabat menteri besar Selangor.

"Jelas (PKR) menggunakan pejabat menteri besar Selangor untuk tujuan individu dan parti yang, bagi saya, jelas salah guna kuasa," katanya dalam sebuah sidang media selepas menyerahkan dokumen itu.

Mengulas perkembangan lanjut siasatan isu tersebut yang meledak minggu lepas, Ezam berkata:

"Mereka (BPR) memberitahu sudah memulakan siasatan terhadap kes ini. Dan siasatan masih belum selesai dan dokumen ini mungkin dapat membantu.

"Pada asasnya, mereka bersetuju (tindakan itu) mempunyai unsur salah guna kuasa dalam kes ini. Bagaimanapun, keputusan muktamad dapat diberitahu selepas siasatan selesai."

Ahli Umno itu berkata pembabitan adik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam syarikat besar milik kerajaan negeri Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) menunjukkan amalan nepotisme dalam pentadbiran Selangor.

"Saya mohon penjelasan. Saya rasa menteri besar sendiri dah buat penjelasan semalam. Memang ada pelantikan dan dia telah letak jawatan.

"Ini salah satu bukti parti dan kelompok yang mahukan reformasi. Salah satu ciri reformasi adalah mengelakkan nepotisme, pilih kasih.

"Tetapi ia berlaku dalam tempoh 100 hari dalam satu syarikat terbesar kerajaan negeri melibatkan adik Anwar sendiri," katanya.

Dokumen itu diserahkan kepada seorang pegawai badan itu, Jaafar Mahat pada 10:45 pagi di pejabat BPR Selangor di Shah Alam.

Mengulas dakwaan dan siasatan kes liwat bekas ketuanya itu, Mohamad Ezam berkata "hanya penuduh, tertuduh dan Allah sahaja yang mengetahuinya."

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju tindakan mengaibkan seseorang dalam kes seumpama ini, tambahnya.

ADS