Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah: Saya tidak takut apa-apa
Diterbitkan:  Jul 1, 2008 12:09 PM
Dikemaskini: 6:34 PM

dikemaskini Isteri timbalan perdana menteri berkata beliau tidak bersalah dan "tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan" berhubung dakwaan terlibat dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Mereka yang tidak bersalah tidak perlu takut. Saya tidak ada apa-apa lagi hendak dikatakan dan saya telah memberikan keterangan kepada polis," kata Rosmah Mansor hari ini.

"Saya bukan seorang ahli politik dan saya tidak bertanding apa-apa jawatan. Saya hanyalah isteri seorang ahli politik (Datuk Seri Najib Razak)," tambahnya.

rosmah mansor and altantuya murder case Kenyataan ini kali pertama dibuat selepas dakwaan-dakwaan menggemparkan penulis blog popular Raja Petra Kamarudin dalam akuan berkanunnya pada 18 Jun lalu.

Rosmah membayangkan beliau tidak akan membawa dakwaan Raja Petra ke muka pengadilan.

"Saya tidak mahu menangani isu-isu tidak perlu. Saya ada perkara lebih penting untuk diuruskan demi rakyat dan negara ini," katanya selepas merasmikan persidangan Asia Pasifik mengenai penerbitan buku kanak-kanak di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini.

Rosmah menegaskan dakwaan-dakwaan itu tidak meresahkannya dan menambah "tidak perlu layan semua ini, jika anda tidak bersalah."

Rabu lepas, Najib menafikan isterinya terbabit dalam pembunuhan wanita Mongolia itu seperti didakwa oleh pengendali blog Malaysia Today minggu sebelumnya.

Najib juga berkata, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan berkanun penulis sensasi itu.

Najib berkata akuan Raja Petra itu satu "pembohongan dan sampah" semata-mata.

Najib juga menyifatkannya sebagai satu tindakan terdesak untuk mencemarkan imej politik beliau.

Raja Petra, dalam akuan berkanunnya , mendakwa Rosmah bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum warga asing itu diletupkan.

Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengendali blog itu juga mendakwa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima maklumat tentang pembabitan tiga individu itu, termasuk Rosmah, dan menyerahkan laporan perisikan kepada menantunya dan juga naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Polis mengesahkan telah mengambil keterangan Rosmah dan dua lagi yang dikaitkan dengannya, seperti dalam akuan Raja Petra, yakni seorang yang didakwa berpangkat kolonel dan isterinya, yang juga pengawal peribadi isteri Najib.

Satu pasukan siasatan khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman merakamkan keterangan Rosmah di kediamannya pada Isnin minggu lepas, kata pengarah siasatan polis persekutuan Datuk Bakri Zinin.

Abdullah dan Khairy masing-masing telah menafikan dakwaan dalam akuan Raja Petra itu. Berita asal

ADS