Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Malaysiakini tuntut FEER tarik laporan tidak benar

Majalah antarabangsa Far Eastern Economic Review (FEER) digesa mengeluarkan kenyataan jelas menarik semula laporannya yang menghubungkan laman web harian malaysiakini dengan spekulator mata wang, George Soros.

Pada bahagian pengenalan [#1] wawancara[/#] bertajuk 'Levelling the Field' bagi edisi 8 Februari depan, majalah mingguan itu menyebutkan malaysiakini merupakan salah satu media di Asia yang menerima bantuan kewangan daripada sebuah yayasan Open Society Fund (Dana Masyarakat Terbuka), yang diasaskan oleh jutawan Amerika Syarikat itu.

Bagaimanapun dalam wawancara majalah itu, Soros tidak menyebutkan apa-apa pembiayaan yayasan dana miliknya kepada malaysiakini .

Dalam satu kenyataan semalam Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini.com Premesh Chandran berkata, laporan FEER yang mendakwa akhbar web ini dibiayai Soros adalah tidak benar. ([#2] FEER report untrue, M'siakini never got Soros funds [/#], 2 Feb)

" Malaysiakini tidak menerima sebarang wang daripada Dana Masyarakat Terbuka milik Soros," kata Premesh. "(Laporan itu) tidak benar."

Beliau juga berkata, pihaknya telah menghubungi pejabat majalah itu di Hong Kong dan editor urusannya Michael Vatikiotis bersedia untuk membuat pembetulan berhubung laporan itu dalam keluaran akan datang dan juga edisi internetnya.

Akhbar New Straits Times hari ini melaporkan kenyataan Vatikiotis yang menyebutkan "Dana Masyarakat Terbuka membiayai Persatuan Akhbar Asia Tenggara (Seapa), satu daripada beberapa sumber kewangan Malaysiakini.com"

Laporan akhbar arus perdana itu yang bertajuk 'Soros-backed Seapa gives grants to news portal' memetik satu jawaban ringkas melalui emel dari FEER semalam.

Tiada bantuan: Langsung atau tidak

Bagaimanapun Premesh hari ini berkata penjelasan FEER itu tidak memadai, kerana memberikan gambaran serong seolah-olah secara tidak langsung Soros membiayai akhbar web ini apabila memberikan wang kepada sebuah kumpulan wartawan rantau ini, Seapa yang beribu pejabat di Bangkok.

Premesh menyifatkan penjelasan majalah itu mengelirukan. "Berdasarkan kenyataan Open Society Institute (Institut Masyarakat Terbuka), kami berharap FEER membuat penjelasan yang lebih terang berhubung laporannya yang tidak benar," katanya hari ini.

Institut Masyarakat Terbuka (IMT), yang mengendalikan dana tersebut, dalam satu kenyataan rasminya kepada FEER , menyebutkan badan itu "tidak memberikan sebarang bantuan kewangan kepada Malaysiakini.com secara langsung mahupun tidak langsung."

"Tidak ada sebarang bantuan dalam apa juga bentuk diberikan oleh IMT melalui Seapa kepada Malaysiakini.com," kata penasihat kanan dasar badan itu, Laura Silber, kepada FEER dan satu salinannya dihantar kepada malaysiakini hari ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS