Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li akui sukar dapat 30% pencalonan
Diterbitkan:  Jul 8, 2008 2:08 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui sukar untuknya mendapatkan 30 peratus pencalonan bagi melayakkannya bertanding jawatan presiden Umno Disember ini.

tengku razaleigh 02 "Memang benar sukar untuk mendapat 30 peratus. Apabila saya melawat ke bahagian-bahagian, ada ketua bahagian sendiri yang telefon ketua cawangan jangan hadir bertemu saya.

"Ada juga yang sabotaj kata saya tak jadi datang," katanya dalam temubual dengan Agendadaily kelmarin.

Calon untuk jawatan presiden perlu memperolehi 30 peratus pencalonan (58 dari 191 bahagian Umno), timbalan presiden 20 peratus (38 bahagian), naib presiden 10 peratus (19 bahagian) dan majlis tertinggi 5 peratus (10 bahagian).

Umno cawangan akan mula bermesyuarat 17 Julai hingga 24 Ogos depan, manakala mesyuarat pemilihan bahagian pula 9 Oktober hingga 9 November. Pemilihan di perhimpunan agung akan berlangsung pada 16 hingga 21 Disember.

Ditanya mengenai bahagian-bahagian yang menyokongnya, ahli Parlimen Gua Musang itu berkata: "Tak banyak yang secara terbuka nak calonkan. Yang kata nak sokong banyaklah."

Menurutnya, sistem kuota tersebut menyalahi undang-undang iaitu Akta Pertubuhan 1966.

"Sepatutnya, pendaftar sudah mansuhkan peraturan ini. Ia juga bertentangan dengan demokrasi Umno.

"Pemegang jawatan memanglah mahukan kuota ini diteruskan, tetapi kena ingatlah ada kemungkinan juga merekapun takkan dapat," katanya.

Kod etika

Tengku Razaleigh juga berkata, 'sangat susah' berhadapan dengan kod etika (pemilihan parti).

"Susah nak jumpa sesiapapun. Kod etika sekarang lagi susah, ada 23 mukasurat, dahulu pada 2001 hanya 7 muka sahaja.

"Kalau kita tidak buat perubahan, dalam pilihanraya umum akan datang, kerusi yang adapun kita akan hilang….

"Dah ada yang kata akan bubarkan cawangan (Umno) jika saya tak lepas kuota," tambahnya.

Menjawab soalan, Tengku Razaleigh berkata sistem kuota yang menjadi masalah utama dan bukannya pertandingan.

"Dari segi perjuangan tanpa kuota… saya dah menang dah…

"Saya dah ada jentera sendiri. Ada penyelaras bagi setiap bahagian.

"Rakyat dan pemimpin Umno di peringkat negeri ramai yang dah tak mahu pada yang ada sekarang. Orang nak perubahan kerana mereka takut pada masa depan.

"Kalau orang merasa masih boleh berpayung…takkan mereka lari. Cuma kita tidak faham membaca signal yang diberikan," tambahnya.

ADS