Bank struktur semula pinjaman rumah

Kerajaan telah berbincang dengan pihak bank di negara ini mengenai penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman perumahan bagi meringankan beban peminjam.

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata pihak bank menyambut baik cadangan itu dan beliau dimaklumkan bahawa bank-bank yang menawarkan pinjaman perumahan akan mengambil langkah penstrukturan semula pinjaman perumahan mereka.

"Kerajaan telah mula berbincang dengan bank-bank untuk menstrukturkan semula pinjaman perumahan supaya pembayaran balik pulangan dapat dikurangkan dan ini memberi manfaat kepada peminjam," katanya pada sesi penggulungan perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan bank-bank yang mengeluarkan kad kredit menghentikan tempoh bebas faedah bagi pembelian runcit, Bernama memetik Nor Mohamed sebagai berkata BNM memperkenalkan struktur harga berperingkat untuk menggalakkan pengguna kad kredit supaya lebih cermat dan bijak dalam perbelanjaan.

Beliau berkata tiga struktur harga berperingkat telah diperkenalkan iaitu peringkat satu bagi membolehkan pemegang kad kredit menikmati caj kewangan yang rendah iaitu 15 peratus setahun sekiranya mereka membuat semua bayaran kredit tepat pada masanya, peringkat dua pula mengenakan caj 17 peratus sekiranya pengguna kad kredit membuat pembayaran 10 bulan dari 12 bulan dalam tempoh bayaran dengan tepat dan bagi peringkat tiga caj sebanyak 18 peratus dikenakan sekiranya pemegang kad kredit kerap gagal membuat pembayaran balik.

"Perlaksanaan struktur harga berperingkat ini akan meringankan beban kos pengguna kad kredit jika dibandingkan dengan kadar tetap lama iaitu sebanyak 18 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Nor Mohamed berkata dengan pengenalan mekanisme baru itu, pemberian tempoh masa 20 hari bayaran tanpa faedah yang dinikmati secara automatik oleh semua pemegang kad kredit tanpa mengambil kira jumlah bayaran bulanan kad kredit sebelum ini telah dihentikan.

Bagaimanapun, katanya beliau telah mengadakan mesyuarat dengan semua bank dan telah meminta bank-bank mengkaji semula tentang hal itu dan mereka bersetuju untuk berbuat demikian.


 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.