Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertemuan Anwar-Rudd inisiatif Australia
Diterbitkan:  Jul 11, 2008 2:47 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Anak ketua umum PKR, Nurul Izzah berkata rancangan untuk mengadakan pertemuan antara Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd dengan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin Pakatan Rakyat, sebenarnya diatur atas inisiatif Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia (DFAT).

nurul izzah 050407 talking Sehubungan itu, Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan bahawa rancangan pertemuan itu bukan diatur oleh PKR atau pihak pejabatnya.

Katanya, apabila pertemuan itu tidak menjadi kenyataan, ia telah diperbesar-besarnya, dan sekaligus mendedah bahawa ada pihak yang berasa tidak selamat kerana menghadapi krisis kepimpinan.

"Anggapan bahawa dengan meminum teh dengan pemimpin Pakatan, ia boleh membahayakan hubungan baik Australia-Malaysia yang membabitkan perdagangan berjumlah A$3.2 bilion setahun, adalah sesuatu yang amat menakjubkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah mengulas laporan sebuah akhbar sebuah akhbar Australia - Sydney Morning Herald - yang bertajuk Meet my father, urges Anwar's daughter (Jumpakah bapa saya, gesa anak perempuan Anwar).

Menurutnya lagi, ketika dunia menjadi tanpa sempadan dan menyambut globalisasi bagi menggalakan hubungan dengan semua parti dan ideologi, pemimpin negara ini masih kuat mengamalkan sikap perlindungan.

Katanya, memandangkan Pakatan rakyat menguasai lima buah negeri, dengan kira-kira 65 peratus kekayaan negara, maka ia juga mempunyai hak dan bertanggungjawab dalam menentukan kemajuan pembangunan negara.

"Kita pasti mengalu-alukan Encik Rudd atau mana-mana pemimpin dunia yang ingin bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana pemimpin PKR atau Pakatan Rakyat untuk tujuan tersebut," tambahnya.

Katanya, pertemuan seumpama itu akan meningkatkan lagi komunikasi yang dapat menyelesaikan lebih banyak masalah dan membina jambatan persahabatan, tidak kira sama ada mereka dari Australia, Timur Tengah, Afrika, Eropah atau Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kata Nurul Izzah lagi, pihaknya memahami kerumitan dalam hubungan diplomasi dan bahawa Rudd terpaksa memberi muka kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi menyifatkannya sebagai sesuatu yang malang bagi semua.

"Namun begitu, bila tiba 16 September, kami dengan sukacitanya akan memberi mereka layanan sewajarnya dan jika beliau ingin membuat kunjungan hormat terhadap bakal ketua pembangkang (ketika itu) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Seri Najib Tun Razak - kami dengan sukacitanya akan membantu," tambahnya.

ADS