Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghantar surat tuntutan kepada menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya memohon maaf kerana memanggilnya "tukang lapor" Amerika Syarikat.

Syed Hamid diberi tempoh 48 jam untuk berbuat demikian.

Surat tuntutan tersebut telah dikirim melalui faksimili ke pejabat Syed Hamid oleh peguam Anwar, Sankara Nair pada jam 1 tengahari tadi.

"Jika kami tidak menerima apa-apa jawapan yang memuaskan dalam masa 48 jam dari tarikh penerimaan surat ini, kami akan mengambil tindakan undang-undang (saman fitnah)," kata Sankara dalam suratnya.

Surat itu diedarkan dalam sidang media di pejabatnya di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Anwar juga menuntut RM100 juta daripada Syed Hamid berhubung kenyataan yang dianggap menjejaskan nama baiknya, selain menuntut menteri itu tidak mengulangi lagi dakwaan seumpamanya.

Anwar berkata, melalui tuntutan itu, perkataan yang digunakan oleh Syed Hamid, seperti laporan The Star 3 Julai lalu, memberi maksud bahawa beliau (Anwar) seorang pengkhianat dan tidak setia kepada negara, agama dan bangsa.

Tokoh pembangkang itu juga berkata, perkataan-perkataan tersebut membawa makna bahawa beliau tidak boleh dipercayai dan tidak layak menjadi perdana menteri atau pemimpin negara dan bahawa beliau seorang boneka Amerika Syarikat yang boleh memusnahkan negara, agama dan bangsa.

syed hamid albar Syed Hamid dipetik sebagai berkata, Anwar bertindak sebagai "tukang lapor" negara kuasa besar itu ketika mengulas kenyataan Washington berhubung laporan polis kes liwat terhadap mantan timbalan perdana menteri itu, akhir bulan lepas.

Menurut akhbar tersebut, menteri itu berkata setiap kali Anwar berdepan dengan krisis politik dalam negara, beliau akan mengadu perkara itu kepada negara tersebut.

Bagaimanapun, pada 8 Julai, beliau menafikan memanggil Anwar sebagai "spy" atau pengintip Amerika Syarikat.

Bernama memetik Syed Hamid sebagai berkata, beliau tidak pernah berkata yang Anwar seorang "spy" atau pengintip.

Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, peguamnya itu juga menyatakan Anwar "berasa sangat kecewa" dengan tindakan polis yang enggan menyerahkan satu salinan laporan yang dibuat oleh bekas pembantu sukarelanya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun.

Selepas cuba mendapatkannya dua kali sejak 29 Jun lalu, tambah Sankara, polis tetap enggan berbuat demikian dalam jawapan pihak berkuasa itu pada 2 Julai.

Polis kemudian berubah sikap pada 3 Julai, katanya lagi, bagaimanapun enggan berbuat demikian sekali lagi sehari kemudian.

"Mereka sehingga kini berdiam diri," katanya.

Sankara menambah, salinan laporan itu sangat penting untuk mengetahui butiran lengkap dan tepat dakwaan Mohd Saiful bagi menyediakan kes terhadap anak guamnya.

ADS