Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muzakarah: PAS takut terjebak lagi
Diterbitkan:  Jul 15, 2008 4:31 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

PAS sedia bermuzakarah dengan Umno mengenai perpaduan Melayu dengan syarat ia adalah kehendak anggota akar umbi dan bukannya kepimpinan Umno sahaja, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

nik aziz Beliau yang juga menteri besar Kelantan berkata, ia bagi memastikan PAS tidak terjebak sekali lagi dalam "perangkap politik Umno".

Katanya cadangan untuk mengadakan perbincangan itu hendaklah datang daripada peringkat cawangan Umno yang dibawa kepada peringkat bahagian dan seterusnya ke perhimpunan agung Umno.

"Dalam keadaan ini saya teringat pada (bekas Perdana Menteri Allahyarham) Tun Razak Hussein yang pernah meminta PAS bergabung dengan Umno tetapi kami dikhianati.

"Saya bimbang ini adalah satu perangkap," kata Nik Aziz kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan menyambut baik cadangan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berbincang dengan parti itu mengenai isu-isu berkaitan orang Melayu dan Islam.

Abdullah yang juga perdana menteri berkata, Umno sedia berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan yang berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.

'Pak Lah terhoyong-hayang'

Nik Aziz berkata, beliau menetapkan syarat itu kerana merasakan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam untuk mengadakan muzakarah dengan PAS lebih kepada permintaan peribadi beliau dan bukannya kehendak Umno sebagai sebuah parti.

"Pak Lah kini dalam keadaan yang terhoyong-hayang dan dia sudah menetapkan tarikh untuk serah kuasa, jadi dalam keadaan sekarang saya melihatnya lebih kepada permintaan peribadi," katanya.

Menurutnya, jika cadangan itu datangnya di akar Umno itu, ia menunjukkan keikhlasan Umno secara keseluruhan untuk mengadakan muzakarah.

Nik Aziz berkata, ia sekaligus mencerminkan Umno sudah menolak konsep kebangsaan yang dipegang parti itu dan menerima Islam sebagai agama yang membawa kepada kemajuan dan bukan memecah-belahkan rakyat.

Katanya, beliau tidak mahu Umno mencadangkan perbincangan kerana terdesak dan mahu mencaturkan semula politik akibat kekalahan teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Nik Aziz juga berkata bahawa Umno sebagai parti tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menunjukkan keikhlasannya dengan tidak menyekat rancangan pembangunan yang telah disediakan di peringkat pusat kepada Kelantan.

"Seperti projek pembinaan pasar baru di Pasir Mas yang bernilai RM8 juta, tiba-tiba projek itu disekat. Kita, kerajaan negeri, sudah bersusah payah untuk dapatkan tanah bagi tapak kawasan projek itu, tiba-tiba tidak jadi. Di mana keihklasannya, ini bukannya projek mega pun," katanya.

Mahu Umno mohon maaf

Nik Abdul Aziz berkata sehingga kini beliau belum dibertahu mengenai perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam muzakarah itu.

Beliau mencadangkan pihak ketiga dijemput sebagai orang tengah dalam muzakarah itu.

Nik Aziz juga meminta Umno memohon maaf secara terbuka kepada PAS bagi dakwaan yang pernah dibuat terhadap parti itu.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa Umno pernah mengkhianati PAS, beliau berkata perkara itu berlaku ketika Umno dalam keadaan bergolak, dan setelah PAS bersetuju bergabung, Umno telah memecah-belahkan PAS kepada tiga puak sebelum "menghalau keluar PAS".

Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai rintangan yang dilaporkan wujud dalam kerjasama antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat, merupakan gembar-gembur media.

"Hakikat sebenar, kerjasama Pakatan Rakyat (yang turut melibatkan PAS), semakin kukuh," kata Nik Aziz.

Mengenai DAP yang sebelum ini lantang menolak beberapa pandangan PAS, beliau berkata DAP tidak pernah menipu PAS sebaliknya parti itu lebih berterus terang jika ia tidak menerima PAS.

ADS