Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 5:56pm Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah ditelanjangkan sewaktu menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.

Menurutnya, seluruh badan beliau diperiksa, termasuk bahagian sulitnya.

Secara berseloroh, beliau berkata, mereka juga "ukur apa yang perlu" dan beliau "ikut semuanya (arahan doktor)".

"Saya buat pemeriksaan seluruh badan saya, kemaluan saya termasuk mengukur apa yang perlu dan saya ikut semua," kata Anwar di sidang media di kediamannya di Bukit Segambut petang ini.

Katanya, beliau juga enggan membenarkan gambar fizikalnya diambil kerana bimbang ia dibocorkan kepada umum, termasuk di internet.

"Sudah tentu saya menolak diambil gambar kerana ia akan ada dalam (laman perkongsian video) YouTube. Kamu fikir saya boleh percaya sistem sedia ada," katanya.

anwar ibrahim freed from police ipk detention pc 170708 11 Menurut mantan timbalan perdana menteri itu lagi, beliau juga enggan sampel darahnya diambil untuk ujian DNA sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut.

Anwar berkata beliau enggan membenarkan sampel itu diambil atas nasihat peguam dan doktor.

"Saya berikan beberapa alasan atas nasihat peguam dan pakar-pakar DNA dalam dan luar negara. Pertama, simpanan DNA memang ada dalam tangan polis. Kedua, yang dituduh dalam simpanan polis. Apa saja mungkin berlaku. Apa perlu DNA daripada saya?" katanya.

Lagi pula, tambahnya, simpanan DNA beliau - yang beliau dakwa diambil secara paksa pada 1999 - masih ada dalam simpanan polis.

Sampel darahnya 10 tahun lalu diambil dari HKL atas arahan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan, waktu itu seorang pegawai penyiasat kesnya.

"Tilamnya dibawa (dalam perbicaraan kes pertama), percikan darah dan sebagainya disebut. Ada percubaan membuat penipuan besar. Apabila kita bongkar, ditarik balik tuduhan yang berkaitan," kata Anwar.

"Apa perlu saya bagi, apa saja boleh jadi," katanya sambil menambah, ini kerana DNA Mohd Saiful pun ada dalam simpanan polis.

Sebelum dibawa ke HKL, tambahnya, pegawai-pegawai polis berpangkat ACP dan SAC II memberi jaminan beliau boleh dibebaskan malam tadi selepas menjalani pemeriksaan tersebut.

Namun, sekembalinya daripada HKL, pengawai penyiasat kesnya DSP Jude Pereira mengatakan bahawa beliau perlu memberi keterangan lanjut pada pagi ini.

anwar ibrahim freed from police ipk detention pc 170708 07 Semalam, Anwar ditahan ketika dalam perjalanan pulang selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya dan dibawa ke ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Polis menahannya semalam untuk merakam percakapannya dan dibebaskan menjelang 10 pagi tadi.

Tokoh utama pembangkang itu disoal siasat berhubung laporan polis oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat olehnya.

Tambah Anwar, beliau terpaksa tidur di atas simen dalam lokap di tingkat tujuh bangunan IPK itu.

"Saudara tahu lokap apa? Lokap penjenayah besar di Malaysia. Betul, pegawai (polis) layan dengan cukup baik, menyentuh saya pun tidak. Tetapi saya diletakkan berbaring di atas simen sepanjang malam dengan kedudukan (sakit) pinggang saya diketahui," jelas Anwar.

Jelasnya lagi, hanya pada kira-kira 1 tengah malam, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail datang membawa tuala sebagai alas tidur.

Kesan daripada tidur atas simen tersebut, kata Anwar, beliau mengalami sakit pinggang dan terpaksa mengambil suntikan penahan sakit.

Selepas berbaring sekejap, tambahnya, barulah keadaan kembali baik.

Bagaimanapun, Anwar berkata, sepanjang di sana, pihak polis melayannya dengan baik.

"Saya tidak pertikaikan layanan (baik) pegawai polis di semua peringkat (jawatan) semasa saya di IPK Kuala Lumpur. Memang saya ucapkan terima kasih kepada mereka. Pertama, sebab saya tidak dipukul dan sewaktu memberikan keterangan, saya memberikan kerjasama penuh," katanya.

anwar ibrahim freed from police ipk detention pc 170708 08 Beliau juga mempersoalkan tindakan polis enggan memberi salinan laporan Mohd Saiful terhadapnya.

Katanya, beliau bertanya perkara itu dan polis hanya menjawab "diarahkan tidak boleh bagi laporan (kepada Anwar)".

"Siapa yang arah? Timbalan perdana menteri atau isterinya atau ketua polis negara?" katanya di sidang media itu, disambut ketawa pemberita.

Sehubungan itu, Anwar menyuarakan kebimbangannya mengenai kemungkinan laporan pengadu kes tersebut dipinda selepas polis mengambil kenyataannya malam tadi.

"Kalau laporan (Mohd Saiful) itu diberikan pada saya tengah hari ini, siapa tahu bahawa itu adalah laporan yang asli? Dipinda, dipinda, dipinda," katanya.

Mengulas kaedah penangkapannya semalam, Anwar berkata: "Saya kesal kerana polis bertindak begitu. Terutama kenyataan (pengarah Jabatan Siasatan Jenayah) Datuk Bakri (Mohd Zinin) yang mengingatkan saya gaya dan lagak ketua polis negara pada 1998, Tan Sri Rahim Noor.

"(Beliau) cakap dengan angkuh dan tidak benar, umpamanya mengatakan saya enggan untuk ke balai polis."

Anwar turut berterima kasih kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana bersedia menjamin keselamatannya sepanjang dalam jagaan polis.

Bagaimanapun, beliau menolak tanggapan bahawa beliau dibebaskan atas pertolongan perdana menteri.

"Saya tidak fikir begitu. Saya tidak harus masuk (lokap) kalau pelaksanaanya profesional," kata Anwar.

Selain kehadiran lebih kurang 50 wartawan dan jurugambar, kira-kira 200 penyokong turut berkumpul di perkarangan rumahnya.

Beberapa tokoh pembangkang yang hadir di situ termasuklah setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin; ahli parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

ADS