Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan memberikan sampel darah untuk menguji DNA beliau walaupun telah dibawa ke hospital malam tadi bagi siasatan dakwaan meliwat pembantunya, kata polis.

Beliau ditangkap tengah hari semalam dan disoal siasat di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sehingga hampir jam 10 pagi tadi untuk mendapat sampel DNA, kata timbalan ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis akan menggunakan ruang perundangan yang ada untuk mendapatkan contoh DNA Anwar.

Dalam siasatan semalam, kata Ismail, pegawai penyiasat telah meminta Anwar memberi sampel darah untuk tujuan perbandingan DNA.

"Tetapi malangnya Datuk Seri Anwar tidak bekerjasama dengan pihak polis untuk memberi sampel (darah)," katanya dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman.

Ismail berkata, pihaknya juga difahamkan bahawa Anwar juga tidak memberi kerjasama untuk mendapatkan sampel darahnya ketika dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.

Ambil kenyataan

Mengulas tindakan pasukan khas polis menahan Anwar di tepi jalan dekat rumahnya di Segambut Dalam semalam, beliau berkata ia dibuat mengikut prosedur dan undang-undang.

"Saya suka memaklumkan, pihak polis dalam melakukan tangkapan, menahan Datuk Seri Anwar, mengambil kenyataannya, dan juga seterusnya menghantar (beliau) ke hospital untuk pemeriksaan, adalah mengikut lunas-lunas undang-undang yang ada.

Menurut Ismail lagi, tangkapan dibuat selepas pihak polis mengambil keterangan pengadu, mengkaji laporan yang dibuat, dan menemuramah saksi yang ada.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penyokong Anwar agar tidak terburu-buru membuat andaian berhubung tangkapan Anwar semalam.

"Ini tindakan normal, bukan luar biasa. Pada saya, tidak ada yang luar biasa dalam kes ini," tambahnya.

"Saya ingat beratus-ratus kes itulah prosedur. Kita tangkap kerana kita ada rekod munasabah, kita ada keraguan yang munasabah," katanya lagi.

Mengapa tahan awal

Ismail juga ditanya mengapa polis menahan Anwar telalu awal daripada masa yang dijanjikan beliau untuk ke ibupejabat polis (IPK) Kuala Lumpur.

Menurut laporan, Anwar berkata beliau akan hadir di IPK Kuala Lumpur pada jam 2 petang tetapi beliau ditahan sejam lebih awal, dekat rumahnya di Segambut Dalam, ketika pulang dari ibupejabat BPR di Putrajaya.

"Mereka (pasukan polis) telah dimaklumkan, selepas Datuk Seri Anwar pergi ke (ibupejabat) BPR (di Putrajaya), dia ada buat kenyataan dalam akhbar, nak pergi terus ke IPK.

"Jadi apabila pasukan ini dapat tahu, tengok dia mengikut jalan lain, mereka risau. Jadi mereka terpaksa melakukan tangkapan, sesuai pada masa itu," jelas Ismail.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Anwar diekori pasukan polis sejurus pulang daripada memberi keterangan kepada BPR.

"(Ada) kemungkinan polis mengekorinya kerana itu adalah tugas polis untuk menahan seseorang," katanya.

ADS