Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tayangan imej di DBKL membazir
Diterbitkan:  Jul 18, 2008 12:17 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Dua ahli parlimen pembangkang bersiar-siar malam tadi dekat Dataran Merdeka, sambil menonton pertunjukan lampu di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) - tetapi mereka menganggap ia sebagai pembaziran semata-mata dalam usaha kerajaan menyeru rakyat berjimat-cermat.

Ahli-ahli parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne dan Segambut, Lim Lip Eng sempat bergambar dengan latar belakang imej besar perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Sebagai sebuah dewan bandaraya yang paling kaya di negara ini, DBKL harus menjadi contoh utama kepada jabatan-jabatan kerajaan lain untuk menjimatkan tenaga," kata Lim, seorang anggota DAP (foto, kanan) .

Manakala Loh menang atas tiket PKR setelah pertama kali dikenali ramai sebagai lelaki yang membuat rakaman perbualan seorang peguam kanan dengan seorang bekas ketua hakim negara sehingga memaksa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja klip video Lingam.

dbkl building and pak lah image 180708 Lim menambah: "Kenapa (kerajaan memperkenalkan langkah) menutup pendingin hawa dan lampu ketika waktu rehat makan tengah hari, sedangkan seluruh bangunan (DBKL) terang-benderang di waktu malam, dengan pertunjukan cahaya besar-besaran?

"Bagaimana pertunjukan lampu ini setiap malam boleh memberi manfaat kepada orang ramai dalam zaman yang sukar ini (akibat kenaikan harga barang)?"

Imej-imej pemimpin utama negara dan promosi Malaysia mula ditayangkan di bangunan itu sejak tahun lepas dan sering menjadi bahan kritik ahli politik dan penulis blog.

Ahli parlimen itu kemudian mempertikaikan datuk bandar Datuk Ab Hakim Borhan dan sekiranya gagal menjawab persoalan- persoalannya, beliau sewajarnya melepaskan jawatan.

"Apakah ini kepemimpinan melalui teladan yang ditunjukkan oleh datuk bandar? Apa perlunya beliau ke luar negara lebih 10 kali dalam lawatan rasmi sejak pelantikannya kurang dua tahun lagi?

"Jika Borhan tidak boleh menjawab soalan-soalan ini, saya fikir sudah sampai masanya beliau meletakkan jawatan segera demi kebaikan pembayar-pembayar Kuala Lumpur," kata Lim, yang baru sahaja dilantik wakil rakyat sejak 8 Mac lalu.

ADS