Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6:56pm Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menyerahkan sampel DNA beliau kerana bimbang berulang proses pemalsuan bukti sampel itu seperti dalam perbicaraan kes pertamanya kira-kira 10 tahun lepas, kata peguamnya.

Sivarasa Rasiah, yang juga naib presiden PKR, berkata Anwar pernah mengalami penipuan bukti DNA beliau apabila sampel sebenar dalam jagaan polis forensik telah dibuang secara tidak sah oleh seorang pegawai berpangkat senior asisten komisioner.

dna testing 180708 "Ketika disoal balas terhadap saksi-saksi pendakwaan, terdedahlah bahawa DNA yang diambil dari sampel darah telah sengaja diletakkan (kemudian) ke atas tilam yang dikenali umum itu (melalui televisyen)," kata Sivarasa.

Beliau menjelaskan, apabila peguam bekas timbalan perdana menteri itu juga mencabarnya, keterangan awal tentang perkara itu dibuang daripada keterangan mahkamah oleh hakim waktu itu Datuk Seri S Augustine Paul.

"Apabila dihadapkan dengan fakta ini, pihak pendakwaan meminda pertuduhan (terhadap Anwar) dan memujuk hakim, Augustine Paul, agar membuang keseluruhan bukti DNA daripada rekod (keterangan mahkamah), menghalang peguam-peguam Anwar mencabarnya."

Pada 1998, Anwar dituduh menyalahgunakan kuasa apabila cuba mempengaruhi tugas polis dalam siasatan terhadap dakwaan salah laku seksnya.

Tambahnya, Anwar hanya bersedia memberikan sampel DNA sekiranya ia dijalankan secara profesional dan wujud pihak perubatan yang bebas.

Sivarasa juga menganggap kenyataan menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar sebagai "mencampuri" urusan siasatan polis dalam kes tersebut.

"Kami dapati kenyataan itu tidak sesuai, mencampuri (proses) siasatan dan mempolitikkannya. Kami percaya keseluruhan proses bermotifkan politik."

Sebagai ahli kabinet, kata Sivarasa, tindakan Syed Hamid itu boleh dianggap mencampuri siasatan.

"Ia bukan datang daripada pemimpin biasa atau ketua Pemuda Umno tetapi menteri penuh, antara menteri yang berpengaruh dalam negara," katanya di sidang media di rumah penasihat PKR di Bukit Segambut, Kuala Lumpur petang ini.

"Respons kami, berhenti buat komen, berhenti campur tangan dalam proses siasatan."

anwar ibrahim freed from police ipk detention pc 170708 11 Mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, peguam itu berkata Anwar memang ditelanjang dan bahagian sulitnya diukur seperti dimaklumkan kepada media semalam (foto kanan) .

"Itu kenyataan (dalam akhbar) yang salah. Beliau dibogelkan dan (bahagian sulit) beliau diukur," katanya.

New Straits Times hari ini memetik satu sumber, yang tidak dinamakan, dari hospital Kuala Lumpur yang menafikan doktor berbuat demikian seperti dakwaan Anwar dalam sidang medianya semalam.

Sivarasa menambah, Anwar memberikan kerjasama dalam siasatan kelmarin walaupun kandungan laporan polis pengadu kes itu Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun tidak dimaklumkan kepadanya.

"Beliau dinasihatkan peguam-peguam kanan supaya tidak memberi keterangan sebelum melihat laporan polis. Kalau beliau tidak memberi kenyataan, sehari selepas itu media akan mainkan (isu bahawa) Anwar menolak memberi kenyataan dan tidak bekerjasama dengan polis.

"Beliau (akan dituduh) menyembunyikan sesuatu. Perkara ini bertentangan dengan kehendaknya. Beliau bekerjasama penuh selama lima jam setengah," katanya.

Mengulas usaha Anwar mendapatkan kandungan laporan itu, Sivarasa berkata, peguam-peguamnya belum memutuskan tindakan khusus untuk mendapatkannya.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan kenyataan Syed Hamid bahawa tiada peruntukan undang-undang untuk memaksa seseorang memberikan sampel darah bagi siasatan polis.

pkr weekly pc 061207 sivarasa rasiah Ditanya sama ada Anwar dibenarkan ke luar negeri atau sebaliknya, Sivarasa berkata pihaknya tidak diberitahu tentang perkara itu.

"Rasminya, pihak berkuasa tidak berkata bahawa beliau tidak boleh pergi. Jika perlu, kami akan berhubung dengan pihak yang relevan seperti imigresen atau perlu dibuat permohonan kepada mereka (imigresen) atau perlu meminta kebenaran mahkamah," katanya.

Disoal alibi Anwar pada hari beliau didakwa meliwat bekas pembantunya itu, Sivarasa berkata "segala bukti tentang alibi telah diberitahu polis."

"Beliau telah beri semua butir-butir yang perlu kepada pihak polis apabila kenyataannya dirakamkan. Itu sebabnya kita ambil (masa) lima jam setengah (beri keterangan).

"Semua saksi lain yang terlibat telah diberitahu. Bagi pihak kami, itulah yang patut disiasat secara profesional dan bebas. Bagi kita, DNA tidak perlu lagi selepas siasatan itu," katanya.

Soalan pemberita berulang kali kepada Sivarasa berkaitan alibi dijawab dengan "segala keterangan telah diberitahu polis."

Berbeza dengan semalam, hampir 30 wartawan dan jurugambar hadir di sidang media itu dan tiada penyokong Anwar kelihatan.

ADS