Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 8:44pm Tidak cukup dengan perbahasan di internet dan sesama sendiri pro dan kontra muzakarah PAS-Umno, sekumpulan ahli PAS mengugut mengadakan demonstrasi membantah kerjasama dua parti itu, lusa.

Dalam sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ahli dan penyokong PAS mulai semalam, perhimpunan itu dirancang diadakan di depan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut selepas solat Jumaat.

Demonstrasi itu dinyatakan sebagai menunjukkan "sokongan kepada mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menentang kerjasama Umno-PAS."

Bagaimanapun usaha Malaysiakini sejak semalam belum berjaya menghubungi pihak yang bertanggungjawab menganjurkannya.

Beberapa sumber menyatakan, perhimpunan itu mahu dilihat sebagai "usaha spontan ahli-ahli akar umbi" menyatakan sikap terhadap usaha dialog yang diketuai oleh timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa dengan dukungan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selepas sidang media menyatakan pendirian rasmi Dewan Pemuda PAS berhubung isu muzakarah dan perkongsian kuasa Umno-PAS, ketuanya Salahuddin Ayub menyifatkan sebaran SMS itu "khabar angin" dan maklumat itu "tidak betul."

nik aziz hugging hadi awang b 230708 Sumber-sumber itu bagaimanapun menyatakan keputusan sama ada meneruskan perhimpunan itu, atau sebaliknya, bergantung keputusan Majlis Syura Ulama PAS petang ini.

Menurut blog rasmi mingguan Siasah , pertemuan selama sejam di kediaman rasmi menteri besar Kelantan melibatkan tujuh daripada 13 anggota anggota majlis itu, termasuk Abdul Hadi dan Nasharuddin (foto kiri) .

Selain itu, timbalan mursyidul am Datuk Harun Din, ketua Dewan Ulama PAS Datuk Muhammad Daud dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman turut hadir di mesyuarat bermula jam 4 petang.

Pertemuan ringkas itu bertujuan membincangkan kekeliruan berhubung pertemuan sulit antara pemimpin tertinggi PAS dengan Umno yang diwakili presidennya sendiri dan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Dalam sidang media selepas mesyuarat di Kota Bharu, menurut akhbar itu lagi, barisan pemimpin atasan PAS menegaskan "tidak pernah berbangkit parti itu hendak bergabung atau berkongsi kuasa dengan Umno", malah bersedia kekal dalam Pakatan Rakyat.

Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dan Dr Harun (foto bawah) dilaporkan sepakat menyatakan PAS tetap komited dengan kerjasamanya bersama PKR dan DAP.

"Apa yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PAS adalah bersemuka (muqabalah) dengan para pemimpin Umno untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat," laporan blog itu dipetik.

Beberapa pemimpin kanan PAS menghadapi kesukaran menjelaskan kepada ahli dan penyokong parti apabila Abdullah mendedahkan beliau sendiri terlibat dalam tiga pertemuan dengan PAS.

Laporan-laporan media kemudiannya menyebut usaha PAS mendekati Umno termasuklah rundingan tentang kerajaan campuran di Selangor dan pengagihan jawatan penting negeri, beberapa hari selepas pilihanraya umum 8 Mac.

nik aziz press conference 230708 Dihubungi Malaysiakini selepas keputusan majlis syura, sumber-sumber yang dekat dengan usaha menganjurkan perhimpunan itu, menyatakan kemungkinan meneruskannya Jumaat ini.

Sumber-sumber itu malah mendakwa "Nik Abdul Aziz telah diberikan maklumat yang salah" tentang pertemuan PAS dan Umno.

Sementara sumber-sumber yang dekat dengan media PAS pula membuat andaian keputusan majlis syura hari ini boleh meredakan kekecewaan penyokong dan ahli parti.

Nik Abdul Aziz, yang juga menteri besar Kelantan, baru-baru ini dilaporkan menggesa muzakarah dengan Umno dihentikan kerana ia akan memecah-belahkan PAS.

Beliau dilaporkan berkata PAS dibimbangi akan menjadi seperti kera sumbang, manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pemimpin Umno.

Kelmarian, Nik Abdul Aziz berkata, "apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga."

Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.

"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua.

"Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti.

"Itu perangkap namanya," katanya, lapor Harakahdaily.net .

ADS