-    +  
Adjust font size:
PKPIM sifatkan SMM 'Melayu-fobia'
Jul 23, 08 3:04pm
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), yang mengkritiknya semalam kerana menyokong muzakarah pemimpin Melayu, "tidak menjadi Melayu-fobia."

"PKPIM ingin mengingatkan SMM agar tidak menjadi Melayu-fobia," kata setiausaha agungnya Abdul Muntaqim Zulkipli.

"Perpaduan umat Melayu, sama juga seperti perpaduan bangsa-bangsa lain di negara ini, adalah penting demi menjamin kestabilan dan keharmonian.

"Dalam masa yang sama, harus difahami dengan jelas bahawa perpaduan umat Melayu bukanlah bermaksud penafian terhadap hak bangsa lain."

SMM, satu gabungan mahasiswa pelbagai kaum, semalam merasakan tindakan PKPIM menggesa pemimpin-pemimpin parti Melayu termasuk PKR bermuzakarah tentang nasib umat Melayu sebagai "tidak sesuai".
"Kami memandang ini adalah satu tindakan yang kurang prihatin terhadap perasaan kaum lain di Malaysia," kata pengerusinya Sheikh Omar Ali.

SMM, tambahnya, sebaliknya berpendapat bahawa pemimpin negara harus sentiasa memikirkan nasib seluruh rakyat tanpa membezakan kaum.

"Negara kita sebenarnya tidak memerlukan perpaduan sesuatu kaum untuk mempertahankan hak kaum tersebut. Kita memerlukan sistem yang mempertahankan hak rakyat biasa tidak mengira kaum," kata Sheikh Omar.

Abdul Muntaqim juga menyifatkan reaksi SMM yang membidasnya semalam sebagai "emosional."

"PKPIM hairan dan kecewa apabila kumpulan SMM membidas kenyataan PKPIM tentang perkara tersebut. Dalam hal ini, PKPIM ingin menyeru pihak SMM dan seluruh rakyat negara ini agar tidak emosional dan bersikap objektif serta rasional dalam membuat penilaian," katanya.

"Di manakah salahnya seruan untuk pemimpin Melayu bermuzakarah? Apakah mereka yang membidas itu menginginkan konflik dan perpecahan berpanjangan di kalangan umat Melayu?"

Abdul Muntaqim menegaskan, usaha menyatukan Melayu saat ini penting khususnya ketika mereka sedang "bertelagah."

"Dalam suasana politik sekarang ini yang menyaksikan umat Melayu bertelagah antara satu sama lain, usaha-usaha untuk menyatupadukan para pemimpin Melayu adalah penting demi perpaduan bangsa dan negara," katanya.

Beliau mengulang sikap presiden pertubuhan itu Hilmi Ramli minggu lalu yang menyeru barisan pemimpin Melayu daripada parti politik, para cendekiawan, ulama dan pemimpin NGO untuk duduk semeja dan bermuzakarah demi perpaduan.


Advertisement

Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner