Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua bahagian Pengerang, Harun Abdullah mendakwa beliau mendapat kurang pencalonan kerana pengaruh politik wang ketika mesyuarat lebih 20 cawangan di bahagian itu.

Sehubungan itu, Harun berkata, beliau akan membuat aduan mengenai perkara itu kepada Lembaga Disiplin Umno.

Setakat mesyuarat 25 cawangan, Harun mendapat tiga pencalonan iaitu dari cawangan Kampung Pengerang, Tanjung Surat dan Kampung Baru Teluk Rumania.

azalina othman 02 Sementara menteri pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga naib ketua bahagian itu, mendapat 22 pencalonan untuk mengetuai bahagian itu.

Daripada lapan lagi cawangan yang belum bermesyuarat, Harun mesti mendapat empat lagi pencalonan bagi melayakkannya mempertahankan jawatan tersebut.

harun abdullah Dihubungi Malaysiakini hari ini, Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Surat mendakwa, seorang pemimpin bahagian berkenaan telah membahagikan wang kepada ahli Umno untuk mendapatkan pencalonan.

"Ada yang dapat RM50, RM100 malah RM1,000... mereka beri kepada Pemuda dan Puteri tetapi orang dewasa susah sedikit.

Harun perlu 4 lagi pencalonan

"Beliau (pemimpin tersebut) juga membuat surat layang untuk memburuk-burukkan saya," katanya lagi.

Selain itu, Harun juga mendakwa, pemimpin tersebut juga membawa orang-orangnya untuk membuat kacau semasa mesyuarat cawangan diadakan.

Beliau berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah hidupnya "terpaksa menghadapi politik yang begini kotor".

"Politik wang sebegini, jika tidak dibendung, akan merosakkan Umno," tambahnya.

Bagaimanapun, Harun percaya, beliau mampu mendapatkan empat lagi pencalonan untuk layak mempertahankan jawatannya.

Sementara itu, Azalina gagal dihubungi untuk mendapatkan komen beliau mengenai dakwaan tersebut.

Malaysiakini juga telah menghantar SMS kepada Azalina dan masih menunggu reaksi beliau.

ADS