Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menaikkan harga tambang bas di seluruh negara.
"Fomca mencadangkan sebarang pertimbangan untuk memberi bantuan kepada pengusaha bas harus mengutamakan insentif dari pihak kerajaan kepada pengusaha bas dan bukan sebarang kelulusan kenaikan kepada tambang bas," kata setiausaha agungnya Muhammad Sha'ani Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini .
Menurutnya, antara insentif yang boleh ditawarkan kepada pengusaha bas termasuklah pengecualian cukai terhadap alat-alat gantian komponen bas dan subsidi caj untuk mengambil penumpang di terminal yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Untuk mengurangkan caj atau kos operasi, maka kerajaan boleh bayar kepada pihak berkuasa tempatan," kata Muhammad Sha'ani.
Menteri pembangunan usahawan dan koperasi Datuk Noh Omar semalam berkata, kerajaan bersetuju menaikkan tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti di seluruh negara walaupun tidak 100 peratus seperti yang dimohon oleh Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia.
Kata Noh lagi, kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos operasi, termasuk harga diesel yang melonjak kepada RM1.43 seliter berbanding 71 sen seliter sejak kali terakhir tambang bas itu dinaikkan pada 2005.
"Peningkatan kos operasi juga disebabkan kenaikan harga barang-barang lain seperti tayar, minyak pelincir dan bateri," katanya.
Menurut Muhammad Sha'ani, kerajaan harus lebih berwaspada dengan kenaikan kos termasuk kos pengangkutan kerana ia memberi kesan kepada inflasi yang sudah mencapai 7.7 peratus dalam bulan Jun.
"Sebarang peningkatan kepada harga barangan akibat kenaikan kos pengangkutan tidak akan mengembalikan harga barangan kepada keadaan asal jikapun berlaku pengurangan harga petrol mengikut menurunan harga petroleum di pasaran antarabangsa," tambah Muhammad Shaa'ni.
Beliau menjelaskan lagi, kenaikan tambang bas, tambang pengangkutan awam seperti bas dan teksi tidak harus lakukan secara mendadak.
"Ia harus dijalankan secara berperingkat-peringkat mulai tahun hadapan," katanya.
Ini kerana, jelas beliau, lonjakan kos pada masa kini harus diberi tempoh penyesuaian kepada pengguna sebelum dilaksanakan sebarang pengumuman kenaikan tambang pengangkutan bas dan pengangkutan awam.
"Rakyat masih lagi terkejut dengan kenaikan harga petrol," tambahnya.
Fomca juga mencadangkan agar satu agensi atau suruhanjaya bebas, yang diwakili oleh pihak yang berwibawa, ditubuhkan untuk mengkaji harga dan tambang.
Agensi ini, katanya, seharusnya tidak diletakkan bawah kawalan kerajaan atau seliaan menteri kabinet.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, tindakan menaikkan kadar tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti akan membebankan pekerja biasa, yang kini berdepan dengan kenaikan kos sarahidup yang meningkat.
Reaksi MTUC
Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, pada umumnya pengguna bas ekspres dan bas berhenti-henti adalah dari golongan berpendapatan rendah.
"Mereka inilah yang amat memerlukan bantuan dari kerajaan. Oleh itu, kerajaan tidak seharusnya membebankan lagi mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kerajaan telah mengurangkan subsidi minyak dan berjanji pula pula untuk membantu mereka menanggani kenaikan kos sarahidup.
"Bagaimanapun, langkah untuk menaikkan tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti merupakan satu tindakan menekan pekerja jauh ke jurang kemiskinan - terutama dengan kadar inflasi 7.7 peratus, yang tertinggi dalam tempoh tahun," kata Syed Shahir lagi.
