Ketua Wanita Umno berkata, politik yang berlaku di peringkat bahagian dalam pemilihan jawatan sekarang akan menyebabkan parti itu hancur.
Tan Sri Rafidah Aziz berkata, beliau sudah mendapat bukti bahawa politik wang banyak berlaku termasuk di kalangan pemimpin Wanita Umno sendiri.
"Saya sedih... Saya sudah 42 tahun dalam politik, belum ada etika pertandingan dalam Umno. Sekarang sudah ada etika, seolah-olah kita perlu diajar.
"Dulu baik-baik tetapi akhir-akhir ini baru saya dengar (ada etika), tetapi kita kena buat kerana sudah ada yang berlaku," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.
Ia dihadiri oleh 19 exco pergerakan itu. Bagaimanapun, naib ketua Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak hadir kerana, menurut Rafidah, beliau tidak sihat.
Rafidah, yang juga bekas menteri kabinet berkata, kalau memberi sogokan untuk menjadi pemimpin itu bermakna tidak ada keikhlasan.
Beliau berkata, budaya Umno sudah mula berubah sehingga terpaksa menubuhkan lembaga disiplin parti.
"Dalam suasana kita kata jangan membabitkan politik wang ia berlaku juga.
"Dan wanita juga terlibat kerana kita mendapat laporan mengenai perkara tersebut," katanya.
Rafidah berkata, kalau kita hendak berkhidmat apa guna perlu membayar untuk mendapatkan jawatan.
"Dahulu kita membayar tambang sendiri, nak hotel pandai-pandai, duduk rumah kawan," katanya.
Katanya, sehubungan itu beliau mengingatkan jika berlaku pertandingan di peringkat bahagian supaya bertanding secara berhemah dan jangan sampai berlaku perpecahan.
"Saya mendapat tahu mereka bertanding sesama sendiri – (pemimpin) Wanita lawan Wanita dan Wanita lawan Puteri - tetapi jangan sampai berpecah-belah.
"Kekuatan kita adalah di akar umbi iaitu cawangan dan bahagian. Jangan sampai menang sorak tetapi kampung tergadai," katanya.
Rafidah juga menegaskan beliau melarang pemimpin pergerakan itu membuat kenyataan melulu secara terbuka.
