Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengundi di Permatang Pauh akan menentukan ahli parlimen baru kerusi itu pada 26 Ogos ini dalam satu pilihanraya kecil yang paling dinanti-nantikan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding semula selepas tiga penggal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat hari ini menetapkan hari penamaan calon pada 16 Ogos.

Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.

Isterinya dan juga presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004 dan dilarang bertanding dalam pilihanraya umum Mac lalu.

bm version permatang pauh election results 310708 Dalam kenyataan media yang diedarkan kepada wartawan yang menunggu di ibu pejabatnya di Putrajaya, pengerusi SPR Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman menyatakan seramai 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos layak membuang undi.

Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihanraya tersebut dikemaskinikan sehingga 31 Julai, katanya.

Beliau mengingatkan semua calon dan petugas-petugasnya supaya tidak menyentuh sebarang isu yang melibatkan kes-kes petisyen pilihanraya umum lalu dalam kempen-kempen mereka.

Ab Rashid juga menyeru calon-calon menjaga tatatertib berkempen dan mematuhi undang-undang.

SPR melantik pegawai daerah Seberang Perai Tengah, Roslan Yahaya sebagai pegawai pengurus pilihanraya kecil itu dengan dibantu tiga penolong pengurus - Zainol Abidin Md Noh (setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai), Kamarul Haizal Koderat (ketua penolong pegawai daerah) dan Azizal Ahmad (penolong pegawai daerah).

Sementara itu, lapor Bernama , Anwar mendakwa BN akan melakukan pelbagai cara bagi memastikan beliau kalah pada pilihanraya kecil nanti.

Katanya, dalam satu ceramah di Bentong malam tadi, pemimpin- pemimpin BN dan jentera parti itu akan terus memburukkan namanya termasuklah dengan menaburkan fitnah.

"Sudah jadi tugas mereka untuk melemparkan fitnah terhadap saya tapi saya sekali-kali tidak akan mengalah," katanya di depan lebih 3,000 orang di Chegar Medang.

Ketika Anwar sedang berucap sekitar 11 malam, lampu tiba-tiba terpadam dan mencetuskan situasi panik seketika dalam kalangan penyokong-penyokongnya yang khuatir Anwar akan ditahan polis berhubung siasatan kes liwat.

Sejurus selepas keadaan seperti sedia kala, Anwar meneruskan ceramahnya dengan mengajak semua ahli Umno dan parti komponen BN menyertai Pakatan Rakyat.

ADS