'Tetap kempen biar ditahan polis'

       

PKR tetap berkempen memastikan kemenangan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh walaupun beliau berada dalam tahanan polis jika gagal diikat jamin di mahkamah esok.

"Saya harap (perkara itu) tidak (berlaku). Sama ada ditahan atau tidak, kempen mesti diteruskan," kata Anwar, mengulas kemungkinan beliau tidak diberikan jaminan apabila dihadapkan dengan pertuduhan meliwat di mahkamah sesyen pagi esok.

"Minggu lepas, saya katakan dalam ceramah di Permatang Pauh, memang ada kemungkinan sarung dan songkok saya akan muncul tanpa tuannya (berkempen)."

Menurut peruntukan undang-undang, kesalahan-kesalahan liwat, pembunuhan, penculikan dan pengedaran dadah tidak dibenarkan ikat jamin.

anwar permatang pauh pc 060808 04 Dalam sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya petang tadi, beliau berkata, tiada alasan hakim menafikan hak beliau diikat jamin kecuali dengan niat "tidak membenarkannya berkempen" dalam pilihanraya kecil antara 16 hingga 26 Ogos ini.

Khamis lalu, penyandang kerusi itu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen untuk memberi laluan kepada suaminya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Ditanya sama ada tindakan polis menyerahkan notis hadir ke mahkahmah esok akan menjejaskan peluangnya di menang, Anwar berkata:

"Itu niat perdana menteri. Sama ada terjejas atau tidak, itu bergantung kepada pengundi Permatang Pauh."

Beliau turut menyifatkan penetapan 26 Ogos atau hari Selasa untuk proses membuang undi sebagai "unik".

"Biasanya tarikh hujung minggu sesuai untuk semua orang mengundi. Tetapi untuk saya, (hari pengundian) di Permatang Pauh ini unik.

"Di Permatang Pauh, ada ribuan pekerja kerajaan dan pekerja industri. Akan jadi masalah besar menguruskannya. Ribuan pekerja di kawasan itu akan mengalami kesulitan," katanya.

Mengulangi keyakinannya menang di kerusi tersebut, Anwar berkata:

"Saya kenal kawasan itu (Permatang Pauh). Wan Azizah berkhidmat di sana dengan baik. Kerajaan salah tadbir ekonomi. Kita ada alasan yang cukup (untuk yakin menang). Kita cuma bimbang cara pilihanraya itu dikendalikan."

anwar permatang pauh pc 060808 01 "Saya tidak tahu bagaimana majoritinya (apabila bertanding). Ini pilihanrya kecil, ratusan dan ribuan ringgit akan digunakan (BN) untuk tujuan itu (kempen).

"Kita tahu bagaimana mengendalikannya. Tetapi saya gembira majoriti Wan Azizah lebih tinggi daripada saya," tambahnya.

Isterinya dan juga presiden PKR menang dalam pilihanraya umum Mac lalu dengan majoriti 13,388 undi, meningkat mendadak berbanding 590 undi pada 2004. Beliau menguasai kerusi itu buat pertama kali dengan 9,077 undi pada 1999.

Dalam pilihanraya kecil ini, Anwar akan menumpukan isu-isu ekonomi untuk mengembalikan keyakinan pelabur.

"(Isu saya bawa) perubahan, cukuplah rasuah, salah tadbir negara dan tindakan musnahkan institusi kerajaan," katanya, sambil menambah beliau akan memfokuskan isu-isu ekonomi dan kenaikan harga petrol.

Diminta mengulas kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonannya, Anwar berkata:

"Di Malaysia, apa pun boleh jadi, Malaysia boleh! Tetapi mengikut undang-undang, tiada kemungkinan (ditolak)," katanya sinis, disambut ketawa pemberita.

Tentang tempoh berkempen, Anwar mengakui 10 hari masa berkempen adalah pendek. Tetapi bagaimanapun, perkara itu telah diputuskan SPR, tambahnya.

Selain Dr Wan Azizah, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan para pemimpin kanan PKR, kelihatan di sidang media itu peguam-peguamnya Sulaiman Abdullah dan Sankara Nair.

Malaysiakini
terkini untuk anda