Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Forum 'memeluk Islam' undang padah
Diterbitkan:  Aug 7, 2008 3:20 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mohd Zahid Hamidi mahu Majlis Peguam menghentikan penganjuran forum awam 'memeluk Islam' Sabtu ini kerana ia merupakan isu yang amat sensitif kepada masyarakat Melayu dan Islam yang menjadi penduduk utama negara ini.

Beliau berkata Majlis Peguam tidak seharusnya mencampuri urusan agama Islam, Raja-raja Melayu dan masyarakat Melayu, jika ingin terus dihormati.

Majlis Peguam perlu sedar bahawa Perkara 121 1(A) Perlembagaan Persekutuan yang mengaitkan keagamaan, kaum dan hak Melayu adalah sensitif dan tidak boleh diperbincangkan secara terbuka, kata Zahid dalam laporan Bernama.

Jika majlis itu mahu meneruskannya, kata beliau, mereka memang mengundang padah termasuk kemarahan masyarakat Melayu.

"Walaupun sudah buat pada siri pertama forum Memeluk Islam dan hujung minggu ini siri kedua, saya bagi amaran, majoriti senyap masyarakat Islam di Malaysia belum lagi bangun untuk menyanggah mereka, tetapi jangan suruh kita bangun," katanya semasa merasmikan Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan 2008

di Masjid Wilayah Persekutuan.

Forum awam mengenai memeluk Islam itu, antara lain, dijangka menyentuh peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam yang menetapkan Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.

Ia juga akan membincangkan keperluan untuk mengkaji semula beberapa kes berkaitan pertukaran agama di negara ini.

'Akibat sosial, politik'

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Bernama memetik Ahmad Zahid turut memberi amaran yang tindakan Majlis Peguam itu boleh mendatangkan akibat sosial dan politik oleh masyarakat umum.

"Sehubungan itu saya dengan tegas mengingatkan mana-mana kumpulan yang kononnya sedang berusaha keras untuk melakukan "perubahan" kepada minda masyarakat, supaya faham dan sedar dengan hakikat ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan kini dalam usaha mengembalikan undang-undang Islam sebagai undang-undang asas dan utama bagi umat Islam di Malaysia dengan meninggikan taraf dan kedudukan Mahkamah Syariah dan membebaskannya daripada campurtangan Mahkamah Sivil.

"Begitu juga dalam memperbaiki dan meningkatkan pentadbiran undang-undang Islam di Mahkamah Syariah. Perkara 121 1(A) Perlembagaan Persekutuan memainkan peranan yang penting dalam menjelaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata forum awam tersebut Sabtu ini tidak wajar diadakan secara terbuka memandangkan isu agama merupakan perkara sensitif.

'Lebih baik tertutup'

Katanya, penganjuran forum terbuka seperti itu dikhuatiri boleh menaikkan emosi di kalangan pelbagai pihak yang mungkin merasa apa yang dibincangkan bertentangan pendirian mereka.

Bagaimanapun katanya kerajaan tidak menghalang sebarang bentuk perbincangan diadakan, termasuk berhubung isu agama, tetapi berpandapat ia lebih elok diadakan secara tertutup.

"Saya tidak fikir semua perkara sensitif seperti ini boleh dibincangkan (secara terbuka), lebih elok dibincangkan secara tertutup.

"Kita tidak menghalang sebarang bentuk perbincangan, kerana ia sesuatu yang sihat, tetapi biarlah dibuat secara tertutup," katanya kepada pemberita di Subang, di Petaling Jaya hari ini ketika diminta mengulas mengenai forum itu yang mendapat tentangan pelbagai pihak.

Ditanya sama ada kerajaan akan menggesa Majlis Peguam membatalkan penganjuran forum itu, Najib berkata: "Tidak tahulah (kerana) mereka (Majlis Peguam) ini ada fikiran sendiri".

ADS