Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dewan Ulama menganggap isu muzakarah dan muqabalah "sudah selesai" tetapi tidak menolak kemungkinan ia akan terus berbangkit dalam muktamar PAS minggu depan, kata sumber dalaman dewan itu.

Isu rundingan Umno-PAS boleh dianggap "tutup buku" ekoran keputusan mesyuarat dua badan tertinggi parti itu - jawatankuasa pusat dan majlis syura ulama - pada 31 Julai lalu, tambah sumber.

Dalam mesyuarat tersebut, PAS menolak sebarang kerjasama dengan Umno atau BN, termasuk membentuk kerajaan campuran dengan parti itu sama ada di peringkat negeri atau pusat. PAS juga menegaskan untuk terus bersama Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun PAS juga memutuskan terus mengadakan perbincangan dengan semua pihak demi kepentingan negara dan ummah.

Sebelum mesyuarat tersebut diadakan, ketua Dewan Ulama Datuk Mohamed Daud Iraqi pernah mencadangkan isu muzakarah dibincangkan dalam muktamar PAS antara 13-17 Ogos di Ipoh. Dewan Ulama akan bersidang pada 14 Ogos di Dewan Bandaran Ipoh.

Sumber itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ada perwakilan-perwakilan sama ada di peringkat dewan tersebut atau muktamar akan membincangkan isu ini.

Tambahnya, barisan pimpinan PAS termasuk dewan ulama memberi komitmen untuk menjawab isu-isu yang ditimbulkan.

Dewan Ulama juga, kata sumber itu lagi kepada Malaysiakini, akan mengusulkan dalam muktamar tahunan PAS untuk menimbangkan mewujudkan dewan itu di peringkat kawasan.

"Dewan Ulama perlu ada di peringkat kawasan untuk menggembleng tenaga-tenaga ulama di peringkat itu," tambahnya.

Sumber itu berkata kewujudan dewan itu di peringkat kawasan boleh memperkasakan lagi PAS kerana digerakkan oleh golongan berpendidikan agama.

"Kalau ulama tak bergerak, maka tidak bergeraklah PAS," katanya.

Penubuhan Dewan Ulama memang diperlukan, jelas sumber, kerana Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat terdapat di peringkat kawasan.

Sementara itu, setiausaha kerja dewan itu Wan Ahmad Rasyidi Wan Othman menjelaskan, Dewan Ulama dijangka bertemu pada 13 Ogos untuk menilai usul-usul tersebut sebelum muktamar dewan itu bersidang.

"Tarikh tutup menghantar usul pada 10 Ogos ini," katanya.

Persidangan dewan itu yang bermula 8 pagi dirasmikan sendiri oleh Mohamed.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS