Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasat S'pura bina jeti di Pulau Pisang
Diterbitkan:  Aug 10, 2008 5:22 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Dakwaan pembinaan sebuah stor simpanan dan jeti oleh Pihak Berkuasa Maritim Singapura (MPA) di Pulau Pisang, perlu disiasat oleh kerajaan bagi memastikan ia tidak melanggar perjanjian yang termaktub, kata Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Katanya, kerajaan perlu menyiasat dakwaan pembinaan kedua-dua struktur itu oleh Singapura bagi memastikan sama ada pembinaannya dibenarkan mengikut perjanjian di antara Sultan Johor dan Kerajaan Negeri-Negeri Selat yang berpengkalan di Singapura pada 1900.

"Kita ingin tahu mengapa jeti di Pulau Pisang itu ditandakan sebagai jeti persendirian, serta tindakan MPA membina sebuah stor simpanan di sebuah kawasan berhampiran jeti persendirian itu.

"Kerajaan perlu menyiasat dengan teliti, adakah Singapura dibenarkan untuk membina jeti persendirian dan stor simpanan itu sebagaimana yang dipersetujui di bawah Perjanjian 1900 itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad Maslan juga mempersoalkan taraf eksklusif jeti berkenaan, sehingga menyusahkan penduduk tempatan dan pengunjung ke Pulau Pisang yang tidak dibenarkan menggunakannya.

Menurut perjanjian yang ditandatangani pada 1900 itu, Singapura dibenarkan mentadbir rumah api di Pulau Pisang, yang terletak di laluan perkapalan sibuk di Selat Melaka.

Bagaimanapun berikutan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague baru-baru ini yang memberikan Singapura kedaulatan Batu Puteh, terdapat kebimbangan bahawa Pulau Pisang yang turut menempatkan rumah api tadbiran Singapura itu bakal dituntut oleh republik berkenaan.

Aduan penduduk

Mengenai dakwaan usaha pembesaran kawasan rumah api Pulau Pisang oleh Singapura, Ahmad berkata ia melibatkan pembinaan pagar baru di sekeliling rumah api itu.

Katanya pembinaan pagar baru telah menceroboh tanah kebun buah-buahan yang dimiliki oleh penduduk tempatan dan beliau meminta kerajaan menyiasat perkara itu segera.

"Rumah api itu kini mempunyai dua pagar, satu di bahagian dalam dan satu lagi di bahagian luar. Kita ingin mengetahui sama ada pihak Singapura dibenarkan membina pagar baru di bahagian luar mengikut terma perjanjian 1900."

"Penduduk tempatan mengadu tanah kebun mereka pada dahulunya tidak dipagar, tetapi kini ia telah dipagar oleh pihak Singapura untuk menjadi sebahagian daripada tanah yang ditadbir oleh republik itu," katanya.

Terdapat 15 buah rumah di Pulau Pisang dan kebun buah-buahan yang dimiliki oleh 87 penduduk tempatan, selain kawasan perkuburan Orang Islam berusia 200 tahun serta tapak surau lama.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang ditanya tentang dakwaan usaha pembesaran kawasan rumah api di Pulau Pisang itu semalam berkata, pihaknya akan mengambil tindakan yang sepatutnya jika dakwaan itu benar.

Sebelum itu, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Kementerian Luar akan menyiasat dakwaan usaha pembesaran kawasan rumah api Pulau Pisang itu.

Ahmad turut mengulangi desakannya mahukan pentadbiran rumah api itu diambilalih daripada tangan Singapura, sambil menyatakan Malaysia mempunyai kepakaran dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk menguruskan rumah api itu.

ADS