Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umno bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata beliau bukan ahli politik Sabah yang sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan untuk mendapatkan kontrak bernilai RM40 juta.

"Saya tidak tahu...saya tidak tahu mengenai projek itu. Saya tidak ada projek di Labuan kecuali sebuah hotel murah.

"Jadi bukan saya yang terbabit dengan projek terbabit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

suhaili abdul rahman Beliau menjelaskan demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa BPR sedang menyiasat seorang ahli politik Sabah yang didakwa mengamalkan rasuah untuk mendapatkan projek berkenaan.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan bahawa BPR sedang menyiasat seorang ahli parlimen Sabah kerana penyalahgunaan kuasa, pemalsuan dan rasuah berhubung dengan tiga kontrak bernilai kira-kira RM40 juta di Labuan.

Suhaili menjadi ahli Parlimen Labuan selama tiga penggal sejak 1995 tetapi tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu. Beliau juga merupakan pengerusi Perbadanan Labuan.

'Jangan buat tuduhan'

Mengulas lanjut mengenainya, Suhaili berkata, lagi pula laporan itu menyebut ahli politik berkenaan berusia 51 tahun, sedangkan beliau berusia 47 tahun.

Menurutnya lagi, sebelum menjadi ahli parlimen Labuan, beliau telah berjanji tidak akan terbabit dengan perniagaan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas laporan tersebut, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan mengesahkan badan itu sedang menyiasat seorang ahli politik Sabah yang didakwa terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah di Labuan.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat tuduhan melulu terhadap ahli politik itu kerana kes itu masih dalam penyiasatan.

“Bagilah kami peluang untuk siasat dulu. Jangan terus melontarkan tuduhan.

"Kami mahu bersikap adil ke atas semua individu yang kami siasat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan BPR Keningau.

Politik wang

Katanya, kes itu disiasat secara bersama oleh BPR Sabah dan ibu pejabat BPR di Kuala Lumpur.

Ahmad Said turut mengesahkan dua pemimpin politik Umno Kota Kinabalu sedang disiasat atas dakwaan terlibat dengan politik wang pada mesyuarat cawangan parti.

Katanya walaupun BPR menerima aduan berkaitan politik wang sepanjang mesyuarat Umno cawangan seluruh negara berlangsung, jumlah aduan yang diterima tidak banyak dan siasatan sedang dijalankan.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula dilaporkan berkata, BPR dibenarkan untuk menyiasat kes-kes tertentu membabitkan politik wang dalam pemilihan Umno sekarang.

Perdana Menteri berkata, kes-kes yang akan disiasat itu membabitkan kes tertentu yang memerlukan campur tangan badan itu.

ADS