Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan menyarankan supaya 10 peratus tempat di UiTM diperuntukkan kepada bukan bumiputera.

Yang Dipertua (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris berharap Abdul Khalid "kesal dan insaf" di atas kenyataan yang dibuatnya itu.

Pagi tadi, sekumpulan pelajar UiTM berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam untuk menyerah memorandum kepada Khalid sebagai membantah syor tersebut.

Mereka mula berkumpul sejak jam 7.30 pagi tadi tetapi dimaklumkan bahawa menteri besar tiada di pejabat.

Mereka kemudiannya menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil pejabat menteri besar Hasril Abu Hassan dan beredar secara aman.

Semalam Menteri Besar Selangor dilaporkan mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.

Tingkat daya saing

Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.

Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Luqmannulhakim berkata, pendirian menteri besar Selangor itu supaya UiTM dibuka kepada bukan bumiputera telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar.

Katanya, UiTM adalah benteng akhir untuk pelajar cerdik untuk menilai isu yang berlaku.

"UiTM berperanan untuk mengimbang golongan profesional Melayu dan bukan Melayu," katanya.

Keserasian kaum

Ditanya apakah rancangan MPP seterusnya berhubung isu tersebut, Luqmannulhakim berkata, pihaknya menunggu maklumbalas selanjutnya daripada menteri besar berhubung memorandum tersebut.

Sementara itu, memorandum tujuh halaman itu, antara lain, menegaskan bahawa langkah membuka 10 peratus kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM bukanlah langkah terbaik untuk meningkatkan kualiti dan dayasaing pelajar bumiputera serta memupuk keserasian antara kaum.

Menurutnya, ini kerana jika dilihat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPT swasta, yang membuka ruang kepada bukan bumiputera, masalah keserasian antara kaum masih lagi terjadi.

"Malah, jika kita dilihat di Kolej Matrikulasi dan MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), masalah pelajar berpuak-puak mengikut kaum masih terjadi.

"Oleh itu, langkah membuka UiTM kepada bukan bumiputera tidak banyak membantu proses keserasian antara kaum.

"Apa yang lebih penting ialah langkah mendidik pelajar supaya dapat menerima satu sama lain dan belajar hormat-menghormati tanpa mengira kaum dan agama," kata memorandum tersebut.

ADS