Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kira-kira 250 ahli badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam berhimpun di Istana Negara petang tadi untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara-perkara yang menyentuh kepentingan orang Melayu.

Sebelum itu, mereka berkumpul di surau dekat pintu belakang istana sebelum berarak menuju ke pintu utama untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Menurut Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Malaysia (GPMS) Selangor, Mustafa Latif, memorandum tersebut diterima oleh seorang pegawai istana pada kira-kira jam 4.30 petang.

Katanya, mereka mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menerangkan kepada pegawai berkenaan mengenai kandungan memorandum tersebut.

Menurutnya lagi, sebahagian besar mereka yang hadir terdiri daripada ahli GPMS dan yang lainnya merupakan wakil daripada beberapa NGO Melayu/Islam yang lain, termasuk Alumni Kelab Umno.

Selepas menyerahkan memorandum tersebut, Mustafa berkata, beliau membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung saranannya supaya 10 peratus kuota kemasukan pelajar ke UiTM, diperuntukkan kepada pelajar bukan bumiputera.

Mustafa berkata, beliau membuat laporan tersebut di balai polis Dang Wangi pada kira-kira jam 5 petang tadi.

Dalam laporan tersebut, katanya, beliau meminta polis menyiasat Abdul Khalid kerana mendakwa kenyataan menteri besar Selangor itu menyebabkan keresahan bumiputera, menghina institusi raja dan ketuanan Melayu, bercanggah dengan prinsip penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Jumpa pelajar

Beliau mendakwa, saranan Abdul Khalid itu mengugat keharmonian dan mewujudkan sentimen perkauman.

Mustafa berkata, beliau ditemani oleh kira-kira 15 pemimpin utama GPMS ketika membuat laporan polis tersebut.

Baru-baru ini, ketika membuat saranan tersebut, menteri besar Selangor itu berkata, ia bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Saranan beliau itu telah mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pelajar UiTM yang telah berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam untuk menyerah memorandum kepada Khalid sebagai membantah syor tersebut.

Ekoran bantahan tersebut, Abdul Khalid berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil pelajar (UiTM) berhubung saranannya itu untuk kebaikan bersama.

Dan semalam, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM sedia mengadakan pertemuan dengan menteri besar Selangor itu, dengan beberapa syarat, termasuk ia dibuka kepada pihak media dan ia tidak diadakan dalam kawasan kampus bagi mengelak sebarang provokasi.

Tengahari tadi, Setiausaha Agung GPMS, Mohd Nardin Awang memberitahu Malaysiakini bahawa kandungan memorandum tersebut, antara lain, menyentuh tentang kedudukan UiTM dan Majlis Peguam.

Sabtu lalu, Majlis Peguam pula telah menganjurkan forum awam 'memeluk Islam' Sabtu lalu yang mencetuskan bantahan badan NGO orang Melayu dan Islam.

Forum tersebut terpaksa dihentikan lebih awal atas nasihat pihak polis ekoran umat Islam berhimpun di luar bangunan Majlis Peguam, membantah penganjuran forum tersebut yang sedang berlangsung di situ.

ADS