Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta umat Islam menilai sendiri sumpah laknat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dia diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, Saiful memilih kaedah Islam untuk menebus maruah dengan melakukan sumpah laknat, dan wajarlah umat Islam menilai langkah yang diambilnya itu, demikian dilaporkan oleh Bernama.
"Dalam sistem kita, mana-mana individu yang dituduh boleh membersihkan diri atau maruah sama ada dengan cara Islam atau cara mahkamah, dan Saiful memilih cara Islam, dan (kini) terpulanglah pada rakyat menilai sumpah Saiful itu.
"Sejak awal lagi saya katakan isu sebenar yang berlaku ialah melibatkan antara Saiful dan Anwar, dan ini tidak ada kena mengena dengan BN (Barisan Nasional)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera Umno untuk pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh semalam.
Mohd Saiful Bukhari petang tadi bersumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan bagi membuktikan dakwaannya diliwat secara paksa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lepas.
Sementara itu Anwar pula menyifatkan upacara bersumpah yang dilakukan bekas pembantunya itu sebagai gimik politik kotor Umno untuk menjatuhkannya.
Anwar akan bertanding bagi merebut kerusi parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan oleh isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beliau akan ditentang oleh calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dalam pilihanraya kecil 26 Ogos ini.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihanraya (SPRI) mengumumkan bahawa pilihanraya kecil Permatang Pauh membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Anwar, calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Hamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).
'Tiada kaitan dengan politik'
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu masyarakat berfikir mengenai sebab Saiful sanggup mengangkat sumpah mubahalah sekiranya beliauberniat mengaibkan Anwar.
"Kalau kita berada dalam keadaan Saiful, sanggupkah kita buat seperti itu (mubahalah), melakukannya dalam masjid dan disiarkan di khalayak ramai.
"Saya rayu kepada orang ramai cuba tanya pada diri sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad berkata tindakan yang diambil oleh Saiful merupakan soal peribadi dan tiada kaitan dengan politik.
"Ini bukanlah agenda politik BN, ia tiada kena mengena langsung dengan kita (BN), kita harap tiada pihak cuba mengaitkannya dengan kita," katanya.
Beliau berkata Mohd Saiful telah membuat sumpah bagi pihak dirinya dan semua pihak sedang menantikan tindakan yang sama dari Anwar.
Di Kuantan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan tindakan Saiful itu sebagai satu keputusan untuk menyatakan kebenaran bagi dirinya, malah, tindakan itu juga mendapat sokongan di kalangan ramai tokoh agama di negara ini, kecuali Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Dia (Saiful) telah memilih cara itu untuk menyatakan kebenarannya dan tindakan itu telah disokong oleh ramai tokoh agama walaupun Datuk Haji Hadi tidak bersetuju.
"Pendek kata siapa yang berani bersumpah...bersumpahlah," katanya kepada pemberita.
Malah, katanya, jika beliau berada di tempat Anwar dan tidak melakukan perbuatan liwat, juga akan mengambil tindakan sedemikian (bersumpah).
