Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS Pulau Pinang kecewa dengan sikap kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu yang didakwa telah meminggirkan parti itu di negeri berkenaan.

"Kita sudah lama hendak jumpa mereka tetapi sehingga hari ini belum dipanggil lagi.

pas muktamar 2008 mohd fahmi abd wahab "Oleh itu, PAS Pulau Pinang seolah-olah duduk di atas beranda sahaja. Panggillah kita duduk di atas kerusi," kata wakil Pulau Pinang, Mohd Pahwi Wahab, ketika membahaskan ucapan dasar presiden di muktamar PAS ke-54 di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Mohd Pahwi berkata: "Empat bulan menikah tak kan tak ada pening dan muntah-muntah lagi, seolah-olah tidak sentuh tangan lagi."

PAS Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang wakil dalam kerajaan Pulau Pinang yang diketuai oleh DAP.

Dalam ucapannya, Mohd Pahwi mencadangkan supaya PAS Pusat mewujudkan sebuah badan pemantau untuk memantau ucapan dan tulisan pemimpin parti yang terkeluar dari dasar parti.

Katanya, jawatankuasa disipilin parti perlu memandang serius kerana ada ahli PAS yang mula berpecah kerana perkara tersebut.

"PAS Pulau Pinang tidak menentang perjumpaan dengan mana-mana pihak asalkan ia tidak mengelirukan ahli," katanya lagi.

Konsep Pakatan Rakyat

Sementara itu, wakil Selangor, Salehin Mukyi berkata, ahli PAS di negeri itu masih kabur mengenai konsep Pakatan.

"Apakah prinsip dan garis sempadan, dan apakah misi besar yang ada dalam Pakatan.

"Bagaimana bentuk mesyuarat dan keputusan yang telah dibuat? Mengapa Pakatan diwujudkan," katanya.

Salehin yang juga ketua pemuda PAS Selangor juga mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan menjemput artis yang tidak bermoral membuat persembahan di negeri itu.

Beliau berkata, tindakan itu bermakna pemimpin Pakatan memilih program yang bertentangan dengan Islam.

"Seolah-olah kita ulang semula program BN sebelum ini, dan jangan sampai rakyat menyangka kerajaan baru sama dengan kerajaan lama," katanya.

Salehin juga berkata, isu muzakarah dengan Umno telah menjadi kayu pengukur kepada keberkesanan tarbiyah kepada ahli-ahli parti.

Katanya, ini kerana ada ahli yang menulis dalam akhbar mengkritik presiden membantah muzakarah tersebut sedangkan ia boleh diselesaikan secara dalaman.

"Isu ini tidak boleh menimbulkan kekecelaruan kerana ia boleh menjejaskan imej PAS," katanya.

ADS