Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta DNA 'kebetulan' dengan kes Anwar
Diterbitkan:  Aug 19, 2008 4:19 PM
Dikemaskini: 2:32 PM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Sambil menolak tanggapan kononnya rang undang-undang itu ada kaitan dengan kes meliwat yang dihadapi penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, perdana menteri berkata hal yang berkaitan dengan DNA dan akta itu sudah lama hendak dibawa oleh kerajaan ke Dewan Rakyat.

Kalaupun DNA menjadi satu isu dalam kes berkenaan, "itu satu kebetulan", katanya di Batu Berendam, Melaka.

"Akta ini baik untuk kita dan untuk masa depan kerana ia akan menjadi satu pendekatan penting dalam usaha pihak berkuasa untuk meningkatkan keberkesanan tindakan membasmi jenayah," katanya, lapor Bernama .

Abdullah diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak penggubalan akta itu, yang mewajibkan suspek kes jenayah memberi sampel DNA mereka kepada pihak berkuasa, "bermotifkan politik".

Pada 7 Ogos lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lepas.

Semasa ditahan polis 16 Julai lepas, bekas timbalan perdana menteri itu enggan membenarkan sampel DNA beliau diambil dengan alasan ia boleh dimanupulasi.

Abdullah berkata bukan menjadi niat dan tujuan kerajaan mewujudkan akta berkenaan kerana kes Anwar itu.

Sebaliknya, kata perdana menteri lagi, undang-undang itu digubal bagi membantu penyelidikan yang mungkin memerlukan DNA untuk membuktikan sesuatu.

Ditanya adakah kerajaan bercadang mewajibkan data DNA diambil semasa bayi baru lahir, Abdullah berkata itu akan diputuskan semasa rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen.

"Kalau ada apa-apa kekurangan mengenai akta itu yang perlu ditambah lagi atau perlu dibuat pindaan, maka pindaan itu dibenarkan walaupun semasa perbahasan nanti," katanya.

ADS