Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UiTM: Dasar Anwar tidak tetap, kata Hisham
Diterbitkan:  Aug 21, 2008 5:28 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Janji Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuka ruang pelajar bukan Melayu memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) semata-mata bertujuan menarik sokongan pengundi kaum-kaum itu, kata Ketua Pemuda Umno.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penasihat PKR tidak tetap pendirian berhubung isu Melayu hingga sanggup mengorbankan kepentingan bangsanya demi kepentingan politik peribadi.

hishammuddin hussein 03 Hishammuddin memberitahu pemberita demikian selepas majlis ramah mesra dengan warga Institut Perguruan Tuanku Bainun di Bukit Mertajam hari ini, demikian menurut laporan Bernama .

Anwar yang juga calon PKR bagi pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini, dilaporkan berjanji menawarkan 20 peratus kuota kepada bukan Melayu untuk memasuki institusi pengajian tinggi itu semasa berkempen dalam pilihanraya kecil itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga pernah mencadangkan supaya UiTM membuka ruang kepada bukan Melayu.

"Anwar tidak tetap pendiriannnya. Semasa menjadi menteri pelajaran, beliau mahu pastikan dasar ITM tidak akan berubah," kata menteri pelajaran, sambil merujuk salinan laporan media pada 28 April 1989 berkaitan perkara itu.

UiTM waktu itu dikenali Institut Teknologi Mara (ITM).

Amalan demokrasi

Dalam keratan laporan itu, Anwar berkata bahawa institusi berkenaan akan terus kekal dengan polisinya iaitu pengambilannya hanya membabitkan pelajar bumiputera sahaja.

Hishammuddin berkata, Anwar boleh melakukan apa sahaja untuk mempengaruhi orang ramai menyertainya, termasuk mencadangkan dasar yang pernah dipertahankannya itu supaya ditukar.

Beliau turut kecewa dengan tindakan penyokong pembangkang yang menafikan amalan demokrasi termasuk menurunkan bendera Umno dan membakarnya.

"Masyarakat sudah bosan dengan keganasan yang dicetuskan oleh pembangkang," katanya.

Ketika berucap di majlis ramah mesra itu, lapor agensi berita itu lagi, beliau berharap masyarakat guru tidak terpengaruh dengan budaya ganas yang dibawa oleh pembangkang.

Katanya sebagai pendidik, mereka perlu berada pada landasan yang betul dan bukan menjadi pencetus suasana tidak sihat.

ADS