Ahli exco kerajaan negeri Perak, Jamaluddin Mohd Rodzi hari ini ditahan reman selama dua hari untuk membantu Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam siasatan skandal projek perumahan bernilai RM180 juta, manakala lima orang lagi telah dibebaskan.
Jamaluddin dibawa ke mahkamah majistret Ipoh pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman tersebut.
Jamaluddin (foto kanan sekali), ditangkap pada jam 10.30 pagi semalam ketika dia datang menyerahkan diri kepada BPR.
Jamaluddin dan lima orang lagi ditahan berhubung dakwaan rasuah membabitkan projek perumahan itu di Seri Iskandar, di selatan Ipoh.
Walaupun perintah remah ke atas lima orang berkenaan hanya berakhir esok, tetapi mereka dibebaskan pada jam 5.30 petang hari ini.
Mahkamah Tinggi Ipoh telah memendekkan perintah reman ke atas mereka daripada tiga kepada dua hari.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim selepas mendengar permohonan oleh lapan peguam yang mewakili lima suspek itu untuk enyemakan semula perintah tahanan reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret semalam.
Ridwan dalam keputusannya berkata mahkamah berpendapat tempoh dua hari sudah mencukupi bagi BPR menjalankan siasatan.
Beliau juga berkata tidak ada kesilapan dalam keputusan Majistret Noor Aini Yusof mengeluarkan perintah tahanan reman selama tiga hari itu dan ia dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Mereka yang berusia antara 45 dan 57 tahun, ditahan semalam ekoran maklumat orang ramai.
Selain Jamaluddin, seorang lagi exco kerajaan negeri yang turut ditahan ialah Mohd Osman Mohd Jailu (kanan).
Jamaluddin adalah ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Behrang dan bertanggungjawab terhadap portfolio pembangunan usahawan, pertanian dan perusahaan.
Manakala Osman pula adalah Adun Changkat Jering, dan mempengerusikan portfolio pelancongan, modal insan dan NGO.
Selain mereka, seorang bekas Adun PKR juga antara enam orang yang ditahan oleh BPR berhubung kes tersebut.
