Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Negeri digesa kuatkuasa fatwa tangani Islam liberal

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) hari ini menggesa Majlis Agama Islam negeri-negeri supaya menguatkuasakan fatwa untuk menangani fahaman Islam Liberal.

Fatwa tersebut dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaaan dalam persidangannya kali ke-74 pada 25 hingga 27 Julai 2006.

Yang Dipertuanya, Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, fatwa tersebut hendaklah dikuatkuasakan supaya fahaman Islam liberal tidak menjejaskan perpaduan ummah yang telah lama terbina di Malaysia.

Di negara jiran, katanya, seperti Indonesia, fahaman tersebut telah difatwakan sebagai haram kerana ia menyeleweng dari asas Islam dan landasan syariat yang sahih.

"Jika ia tidak ditangani, kita khuatir masa depan umat Islam di negara ini akan terumbang-ambing, terkeliru dalam perjalanan hidup mereka, lantaran serangan pemikiran liberal yang mencengkam," kata Sheikh Abdul Halim dalam teks ucaptamanya di seminar pemikiran Islam peringkat kebangsaan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi hari ini.

Beliau turut menyentuh banyak faktor yang membawa kepada kemunculan Islam liberal.

"Kemunculan Islam liberal adalah ekoran fahaman sekularisme. Ada yang menyatakan ianya ditaja oleh pihak-pihak luar, dengan menghulurkan dana.

"Malah, ada yang mendakwa ia muncul kerana apa yang ada sekarang ini sangat ketat. Maka berlakunya proses liberalisasi hukum dan sebagainya," tegasnya.

Langkah tangani Islam liberal

Oleh yang demikian, Sheikh Abdul Halim menggariskan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk menangani ajaran Islam liberal.

Antaranya, kata beliau, ialah memantapkan kelas pengajian agama di masjid, surau, pusat pengajian dan di tempat kerja.

Di samping itu, beliau menyarankan supaya diterbit bahan-bahan penerangan, termasuk risalah dan buku yang menerangkan penyelewengan dan penyimpangan pemikiran Islam liberal.

Ketika bercakap kepada pemberita kemudiannya, Sheikh Abdul Halim menjelaskan bahawa Islam liberal di Malaysia digerakkan oleh golongan cerdik pandai dan terpelajar.

"Kalau kata serius, nampak besar sangat, kalau kata tak serius, perkara ini bergerak. Bagi saya, ia digerakkan oleh orang cerdik, orang yang terpelajar. Terpelajarnya pula adalah orang Islam, pelajar Islam," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahayanya Islam liberal kerana orang Islam digunakan untuk menyebar ajarannya.

Sheikh Abdul Halim juga ditanya mengenai golongan yang menggunakan Islam tetapi secara terang-terangannya dasarnya bertentangan dengan Islam.

Beliau menjawab: "Atas nama Islam dia tidak jujur dengan kita, itu yang membimbangkan kita. Zahirnya guna nama Islam, guna nama pertubuhan Islam, tapi bukan untuk Islam, bukan nak membela Islam."

ADS