Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penulis-penulis blog politik umumnya bersetuju bahawa mereka perlu bertanggungjawab terhadap setiap coretan di laman masing-masing.

Mereka juga tidak menolak kemungkinan, jika terdesak, kerajaan akan mengguna pakai akta-akta kontroversi seperti Akta Keselamatan Negeri (ISA), Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Penulis-penulis blog juga percaya hasrat kerajaan BN yang berulang-ulang untuk mengambil tindakan lebih keras terhadap mereka bermotifkan politik bagi mengekang kritikan lantang mereka.

dap graftbuster pc 230409 tony pua Ahli parlimen DAP bagi Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, kalau penulis blog "tidak berhenti dedah maklumat, BN akan hilang kuasa".

Beliau menambah, hasrat kerajaan untuk mengawal blog "tidak akan berhasil" kerana ia tidak dapat ditutup dan akan terus tumbuh.

"Setakat ini, kerajaan hanya ambil tindakan terhadap penulis blog yang terkenal. Tetapi (blog) yang tidak ada nama akan terus tumbuh," katanya yang memblog di www.tonypua.com.

Sambil menentang keras penapisan kerajaan terhadap laman blog, Tony bagaimanapun berkata penulis yang membuat laporan salah wajar diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

"Boleh didakwa tetapi hendaklah ada kes yang munasabah. Kalau saya dakwa seorang menteri mempunyai empat orang perempuan simpanan di luar negara, saya mesti buktikannya," katanya.

Ditanya sama ada wajar penulis blog mengesahkan semua maklumat terperinci sebelum menulisnya memandang tindakan itu sukar, Tony berkata:

"Saya rasa perlu, jika tidak, kredibiliti blog akan turun."

Beliau diminta mengulas ura-ura terbaru kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan penulis blog susulan kegagalan BN menjawab tuduhan-tuduhan di internet sehingga dipercayai menjadi salah satu punca ketewasan teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Rumusan langkah terbaru ini dilaporkan dibuat dalam satu pertemuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan beberapa menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan minggu lalu.

Tanpa tindakan tegas kerajaan BN terhadap penulis blog, kesan tuduhan-tuduhan di internet boleh menjejaskan dengan teruk parti itu dalam pilihanraya umum akan datang, lapor akhbar web Malaysian Insider .

Abu Bakar Mohd Rashid, yang disiasat polis awal bulan ini, berkata penulis-penulis blog politik umumnya bertanggungjawab terhadap tulisan yang disiarkan di internet, termasuk mendedahkan identiti dan mengakui kesilapan.

abu bakar mohd rashid penarik beca 0808081 "Macam saya letak logo anjing, saya mengakui saya buat kesalahan bodoh. Tetapi tulisan yang lain saya pertahankan," kata pemilik blog Penarik Beca (www.penarikbeca.blogspot.com).

Pada 6 Ogos lalu, beliau disiasat bawah Akta Hasutan selama dua hari berhubung pemaparan imej kepala anjing di lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu artikelnya bulan lepas.

Seperti wakil rakyat DAP itu, Abu Bakar percaya kerajaan mengambil langkah itu terhadap blog-blog politik demi menjaga kepentingan BN.

Katanya, beliau tidak pernah mendengar penulis blog dalam bidang-bidang selain politik dikenakan tindakan.

"Blog letak gambar telanjang, artis pakai terbelah sana-sini tidak mengapa pula," katanya, yang dekat dengan penyokong PAS.

Beliau menyifatkan hasrat kerajaan itu satu bentuk "pilih kasih".

Ditanya jika keadaan mendesak, sejauh mana kerajaan sedia terhadap penulis blog ini, Abu Bakar berkata:

"Mungkin akan guna ISA, OSA dan akta Hasutan. Ini senjata paling tajam," katanya.

Seorang penulis blog muda berkata, pendekatan lebih keras yang ingin diambil kerajaan dalam sisi lain boleh memberikan manfaat kepada pembaca.

"Ia akan menyebabkan penulis blog lebih berhati-hati dan lebih bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya," kata Najwan Halimi kepada Malaysiakini .

Bagaimanapun, perkara itu menyebabkan "timbulnya keadaan tidak selesa" di kalangan mereka, tambah graduan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai "ugutan secara tidak langsung terhadap kebebasan bersuara", Najwan berkata, bukan semua penulis blog tidak bertanggungjawab.

Mengulas faktor pendorong tindakan kerajaan itu, Najwan percaya ia disebabkan sikap kebanyakan penulis blog yang "cenderung menyatakan sokongan terhadap (penasihat PKR) Anwar (Ibrahim) secara langsung ataupun tidak langsung".

Najwan, penulis blog pertama mendedahkan keraguan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan sewaktu pemuda itu masih bertugas di pejabat Anwar, menjangkakan kerajaan akan membuat menggubal satu akta baru dan garis panduan untuk penulis blog.

Dalam blognya Riwayat Hayat (www.najwanhalimi.com) 15 Mac lalu, beliau pernah menggelarkan Mohd Saiful sebagai "musang berbulu ayam" di pejabat tokoh pembangkang itu.

Namun, menurutnya, kerajaan sukar mengawal blog kerana banyak juga yang tidak menggunakan nama sebenar dan mendaftarkan blognya dengan penyedia laman blog dari luar negara.

"Kalau dilaksanakan (kawalan blog melalui akta), akan banyak lompong," katanya.

Najwan menambah, artikel dalam blog "tidak boleh dikatakan tidak benar jika tidak pernah disiasat".

Walaupun membantah penggunaan ISA dan OSA, beliau bagaimanapun berkata Akta Hasutan boleh diguna pakai jika ada penulis blog mencabar Raja-raja Melayu.

ADS