Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan membentangkan bajet baru jika Pakatan Rakyat pimpinannya menubuhkan kerajaan baru.

Katanya, tema utama bajetnya ialah untuk mengurangkan defisit, mengurangkan cukai dan harga minyak, merangsang pelaburan serta mengamalkan sistem tender terbuka.

Anwar menegaskan demikian ketika ditanya sama ada beliau akan membentangkan bajet baru jika berjaya menubuhkan kerajaan baru, yang diuar-uarkannya pada 16 September ini.

Anwar menjawab dengan yakin: "Persoalannya ialah bukan 'jika', tetapi 'bila'."

Beliau mengkritik bajet 2009 sebagai satu lagi petanda kegagalan kerajaan untuk menyediakan halatuju ekonomi yang kukuh untuk menghadapi cabaran di peringkat domestik dan global.

"Jika kita boleh menubuhkan kerajaan, bajet ini (oleh kerajaan BN) akan disemak semula dan bajet baru akan dibentangkan, insya-Allah," katanya dalam sidang akhbar di pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya hari ini.

anwar pc on budget 2009 020908 02 Hadir sama ialah isterinya yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; timbalannya, Dr Syed Husin Ali dan ketua penerangan, Tian Chua serta beberapa ahli parlimen PKR.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga menteri kewangan, membentangkan bajet 2008 Jumaat lalu dan mendapatkan reaksi yang berbeza.

Parti-parti pembangkang bagaimanapun menyuarakan kekecewaan mereka kerana Abdullah gagal menyediakan insentif baru untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serta bimbang dengan peningkatan defisit bajet.

Anwar mendakwa, kerajaan telah memberi perangkaan yang tidak tepat kerana mahu memberi gambaran yang baik mengenai pencapaiannya dan kemajuan ekonomi.

Mengulas lebih lanjut mengenai bajetnya, Anwar berikrar untuk mengurangkan defisit - yang dijangka 3.6 peratus KDNK (Keluaran dalam Negeri Kasar) bagi 2009 dan 4.8 peratus tahun ini.

Anwar yakin kadar defisit akan turun di bawah kadar 4.8 peratus sekarang jika dilaksanakan langkah-langkah untuk meningkatkan dayasaing serta menghapuskan amalan memberi projek-projek kerajaan tanpa tender.

"Ini akan dengan sendirinya dapat mengurangkan perbelanjaan (kerajaan) dan saya percaya jika kita boleh melakukan secara cekap, kita boleh menyelamatkan RM4 bilion hingga RM5 bilion sekaligus, dan mengurangkan defisit yang dicatatkan," katanya.

Beliau mengkritik kerajaan BN yang didakwanya berbelanja secara tidak bertanggungjawab dan tidak menghiraukan beban yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.

Anwar juga berkata, beliau komited untuk mengurangkan harga minyak - yang merupakan ikrar pilihanrayanya - dan mengurangkan cukai peribadi dan korporat untuk mengurangkan beban rakyat.

'Falsafah ekonomi saya sentiasa "tiada cukai, tingkatkan produktiviti', saya tidak pernah mengubah pendirian itu. Kurangkan cukai, produktiviti yang lebih baik dan lebih tinggi," katanya. Baca laporan penuh

ADS