Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Naib Ketua Umno Seremban dituduh rasuah
Diterbitkan:  Sep 2, 2008 2:27 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Naib Ketua Umno Bahagian Seremban dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua tuduhan rasuah.

Mohd Nor Awang, 47, seorang ahli perniagaan, dituduh secara rasuah memberi suapan RM200 kepada Ketua Cawangan Umno Taman Zaiton Indah, Sikamat, Rezwat Shahril Zainal Ariffin.

Wang itu sebagai dorongan supaya Rezwat Shahril semasa dalam mesyuarat agung Umno cawangan itu 3 Ogos lalu, mencalonkan Mohd Nor sebagai calon ketua Umno bahagian Seremban bagi pemilihan untuk bagi sesi 2008-2011.

Menurut laporan Bernama, Mohd Nor dituduh melakukan kesalahan itu dalam kereta NBK 16 di tempat letak kereta di belakang Restoran Negeri, Taman Catleya, Senawang pada kira-kira jam 12.20 tengah hari 1 Ogos lalu.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa secara rasuah memberi suapan RM500 kepada orang yang sama (Rezwat Shahril Zainal Ariffin) untuk tujuan sama.

Kesalahan itu dilakukannya didalam kereta NBK 16 di tempat letak kereta di belakang Centre Point di sini pada kira-kira 4.30 petang pada 2 Ogos lalu.

Mohd Nor didakwa di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Beliau yang diwakili peguam Abdul Halim Lokman mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Allaudeen Ismail menetapkan 28 dan 29 Januari 2009 sebagai tarikh perbicaraan.

Mohd Nor dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Laporan palsu

Sementara itu, seorang ketua Pemuda Umno cawangan didenda maksimum RM2,000 atau penjara empat bulan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang atas tuduhan membuat laporan palsu kepada BPR mengenai politik wang dalam parti.

Mohd Rusihan Abu Yaziz @ Mohamad, 32, mengaku membuat laporan itu supaya siasatan dilakukan terhadap Ahmad Affandi Hamzah yang didakwa menyogoknya dengan wang tunai RM1,500 bagi menyokong pencalonan penama sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kelana Jaya.

Menurut Utusan online, Dia yang merupakan Ketua Pemuda Cawangan Lengkok Golf, Kelana Jaya didakwa membuat laporan palsu itu kepada Penguasa Kanan BPR, Saiful Ezral Arifin di antara pukul 5 petang dan 7 malam, 30 Julai lalu di Ibu Pejabat BPR di Putrajaya.

ADS