Pemuda Umno Kedah tidak mahu pertandingan merebut jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia akan mewujudkan puak-puak dalam pergerakan tersebut.
"Kita tidak mahu ada puak-puak dalam Pemuda," kata Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, beliau menjangka berlaku persaingan sengit bagi merebut jawatan tersebut Disember ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat juga menjangkakan Mukhriz akan mendapat undi simpati dari pemuda bahagian-bahagian.
Ini kerana Mukhriz dilihat sebagai membawa suara mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Semalam, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz dilaporkan akan membuat pengumuman rasmi bertanding jawatan tersebut di Alor Star petang esok
Selain Mukhriz, terdapat tiga orang lagi yang turut berhasrat untuk merebut jawatan tersebut.
Politik murahan
Mereka ialah Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Mengulas mengenai calon-calon tersebut, Mohd Rawi berkata: "Khairy adalah orang nombor dua dalam Pemuda Umno sekarang. Dr Khir pula berjanji akan mencurahkan 100 peratus pengalamannya.
"Begitu juga dengan Datuk Seri Adnan, orang yang berpengalaman. Semua ada peluang untuk menang," katanya.
Mohd Rawi juga berharap agar tiada isu-isu peribadi dimainkan untuk meraih sokongan dalam pemilihan jawatan tersebut.
Beliau turut menasihatkan Pemuda Umno supaya jangan tidak terbawa-bawa dengan politik murahan.
Menurutnya, ini kerana pemilihan parti adalah satu amalan biasa dalam Umno bagi memperkasakan parti untuk terus maju ke depan.
|
Berita Terkini dalam SMS
Maxis users
- Taip SMS "BUY MKINIM" dan hantar ke "26000" (caj bulanan RM 5.00)
- Taip "BUY WMKINIM" dan hantar ke "26000" (caj mingguan RM 1.50)
Umobile users
- Taip "ON NW MKINIBM" dan hantar ke "28118" (caj bulanan RM 5.00)
|