Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Agong puas hati dengan k'jaan BN
Diterbitkan:  Sep 5, 2008 4:44 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Tarikh 16 September - yang didakwa PKR akan menyaksikan lebih 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat menyertai Pakatan Rakyat - semakin hampir, tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap tidak percaya ianya akan berlaku.

Beliau berkata, tidak ada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan meninggalkan parti itu menjelang 16 September ini untuk menyertai pembangkang menubuhkan kerajaan baru.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong telah dimaklumkan mengenai perkembangan semasa dan baginda puashati dengan pentadbiran sekarang.

abdullah ahmad badawi pak lah pc 050908 05 Abdullah menjawab soalan sama ada beliau telah menemui Yang di-Pertuan Agong dan memberi taklimat mengenai perkembangan semasa.

Perdana menteri berkata, setiapkali mengadap baginda, beliau akan memberi taklimat mengenai apa yang berlaku.

Beliau juga, katanya, memberi jaminan kepada baginda bahawa keadaan berjalan seperti biasa dan kerajaan sedang melakukan sebaik mungkin untuk memperbaiki pentadbirannya.

"Kita juga sedang menolong rakyat menangani masalah kenaikan harga minyak dan barang," katanya Abdullah yang menambah bahawa baginda berpuashati dengan pentadbiran sekarang.

Mengenai lawatan ahli-ahli Parlimen BN ke luar negara dalam minggu menjelang tarikh 16 September, Abdullah menjawab:

"Kalau mereka nak pergi, biarlah mereka pergi, apa nak hubung kaitkan dengan September. Mereka bukannya orang yang nak melompat daripada BN."

"Ia (16 September) tidak penting bagi mereka. Bukan mereka yang akan lompat dan tinggalkan BN untuk menyertai pembangkang," katanya.

Menurut Abdullah, mereka tidak akan meninggalkan parti masing-masing dan gabungan BN juga adalah parti mereka.

Sebaliknya, tegas beliau, BN bukanlah parti yang kalah (dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu) dan "kita masih memerintah negara".

"Saya pastikan 16 Sept tidak akan berlaku. Pakatan Rakyat bergantung kepada ahli-ahli parti kita untuk meninggalkan kita tetapi orang kita tidak akan meninggalkan kita.

"Kita tidak akan beri peluang untuk mereka menubuhkan kerajaan pada 16 September. Tidak," kata Abdullah

Sebelum itu, perdana menteri melancarkan sistem sokongan elektronik perlesenan pernigaaan atau BLESS. Berita asal

ADS