Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peralihan kuasa: Najib serah pada ahli Umno
Diterbitkan:  Sep 12, 2008 5:31 PM
Dikemaskini: 5:22 PM

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada ahli Umno untuk memutuskan bilakah peralihan kuasa daripada Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu dilakukan.

Beliau berkata pelan peralihan kuasa itu diputuskan pada Julai lalu oleh Perdana Menteri dan beliau sendiri serta disahkan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno.

najib at bn leaders mca function in permatang pauh 250808 01 Najib berkata dalam perjumpaannya dengan ketua-ketua Umno bahagian, beliau telahpun menyatakan bahawa pelan itu mesti mendapat sokongan bahagian-bahagian Umno, khususnya dalam persidangan perwakilan tahun ini, demikian menurut laporan Bernama.

"Oleh itu, kerana Umno yang merupakan parti yang mengamalkan prinsip demokrasi, perkara ini hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli parti melalui proses dalaman parti, iaitu melalui mesyuarat tahunan dalam bahagian-bahagian," katanya selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Guangdong-Malaysia di ibunegara hari ini.

Di bawah pelan peralihan kuasa itu, Abdullah akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno kepada Najib pada Jun 2010.

Rabu lalu, Naib Presiden Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kedua-dua pemimpin itu supaya menimbangkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh itu terlalu lama.

Semalam, Abdullah berkata beliau terkejut dengan kenyataan Muhyiddin kerana tarikh peralihan kuasa itu difahami dan dipersetujui oleh MT Umno serta Kabinet.

Bentuk kerajaan baru

Dalam perkembangan lain, Najib berkata kerajaan BN semasa tidak terlalu bimbang dengan hasrat empat ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk ke Taiwan bagi menyertai sekumpulan 49 ahli Parlimen BN yang sedang melakukan lawatan sambil belajar dalam bidang pertanian di sana.

Kumpulan berempat itu, terdiri daripada Ketua Penerangan PKR Tian Chua, Pengarah Strategik Saifuddin Nasution, Ketua Biro Pilihanraya PKR Fuziah Salleh, Ketua Publisiti Wanita PKR, Elizabeth Wong dan ahli Majlis Tertinggi Low Chee Cheong, dijadual berlepas ke Taiwan pada 2 petang ini.

Ia dilihat sebagai langkah oleh parti pembangkang untuk memujuk ahli Parlimen BN dalam usaha membentuk kerajaan baru menjelang 16 September ini, seperti yang diisytiharkan oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dia (Anwar) punya mainan politik ini macam-macam sekarang ini. Janganlah terbawa-bawa. Dia boleh pergi mana-mana, Antartika pun tak apa. Saya tak fikir ahli-ahli BN nak lompat parti," katanya.

Ditanya jika BN akan berusaha untuk menghalang ahli Parlimen PKR daripada berjumpa ahli Parlimen BN di Taiwan, beliau berkata: "Dia tahu apa nak buat. Tak payah kita nak halang. Mereka (ahli Parlimen BN) tidak ada keinginan nak lompat parti," katanya.

PM: Jangan dibangkitkan

abdullah ahmad badawi pm mahathir quits umno pc 190508 03 Sementara itu, perdana menteri berkata, tiada kewajaran pelan peralihan kuasa antara beliau dan timbalannya dibangkitkan lagi kerana segala usaha sepatutnya ditumpukan kepada soal memenuhi kemahuan rakyat iaitu pembangunan.

Sebaliknya, kata beliau, sekiranya pelan peralihan kuasa itu dibangkitkan lagi, ia akan menimbulkan pelbagai cerita dan kempen.

"Ada yang akan gesa supaya pelan itu dilaksanakan mengikut jadual ... ada yang akan gesa (tempoh peralihan) dipendekkan," katanya kepada para pemberita selepas bermesyuarat dengan pemimpin kanan Khazanah Nasional di Kementerian Kewangan di ibunegara.

Abdullah mengulangi kenyataannya bahawa keputusan mengenai pelan peralihan kuasa itu sudah dipersetujui antara beliau dan Najib serta mendapat persetujuan dan pengiktirafan dari pemimpin parti serta kabinet.

Perdana Menteri menjelaskan rasional pelan itu diadakan bertujuan mewujudkan kestabilan politik dalam negara agar usaha dapat ditumpukan kepada memenuhi kemahuan rakyat iaitu pembangunan.

Beliau berkata situasi ketidakstabilan politik sebelum ini telah menyebabkan rakyat bosan kerana cerita politik tiada penghujungnya manakala para anggota Umno pula menjadi resah dan gelisah akibat tiada ketentuan dalam soal politik negara.

"Kita perlu fikir perasan rakyat dan bukan diri kita dan politik kita sahaja," katanya.

Abdulah berkata demi kestabilan politik dan kebaikan parti, tumpuan hendaklah diberikan kepada apa yang rakyat mahukan iaitu pembangunan.

Pandangan Ku Li

Sementara itu, ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak mahu mempersoalkan kenyataan Muhyiddin, yang menganggap peralihan kuasa antara Abdullah kepada penggantinya, Najib pada 2010 terlalu lama.

umno 2007 tengku razaleigh ku li 081107 Sebaliknya, beliau lebih terkejut dengan cadangan peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin tertinggi Umno yang pada pendapatnya tidak ada dalam perlembagaan parti.

Tengku Razaleigh tetap dengan pendiriannya bahawa perlembagaan Umno tidak ada peruntukan untuk mengadakan peralihan kuasa.

"Ahli-ahli yang patut memilih pemimpin. Pemimpin tak boleh menentukan berapa lama nak duduk (memimpin), bila nak turun kecuali apabila dia nak berhenti,"

katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 150 anak-anak yatim dari asrama Pertubuhan Anak-anak Yatim Islam Muar di Masjid Jamek bandar Maharani malam semalam.

Mengenai tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung keanggotaan bekas Ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail selama tiga tahun, Tengku Razaleigh turut tidak mahu mempersoal kewajaran tindakan itu.

"Kalau MT kata wajar, kita kena ikut kata wajar," katanya.

Ditanya sama ada tindakan MT Umno itu akan menyebabkan tiada lagi laungan 'Hidup Melayu' dalam mana-mana perjumpaan Umno, Tengku Razaleigh berkata: "Siapa kata tak boleh? Kalau kita orang Melayu tak berjuang untuk orang Melayu, kita nak berjuang untuk siapa? Memang kita berjuang untuk Malaysia tetapi kita mesti jaga orang Melayu. Umno adalah parti orang Melayu."

ADS